Penyanyi popular Khai Bahar yang pulang ke kampungnya di Perlis ketika kebenaran untuk merentas negeri dibenarkan tempoh hari memberitahu Gempak bahawa tiada rumah terbuka yang dibuat pada tahun ini.

Tidak seperti tahun sebelumnya, rumah keluarga Khai di kampung sangat meriah dikunjungi para peminat, tetapi kali ini demi menjaga keselamatan ibu bapa dan keluarganya, Khai tidak mengadakan rumah terbuka.

"Alhamdulillah, Khai membuat permohonan untuk pulang ke kampung menggunakan aplikasi seperti mana yang diminta oleh pihak berkuasa.



"Bila mendapat kebenaran, barulah Khai bergerak ke kampung kerana tiada sebarang aktiviti di Kuala Lumpur dan kebanyakannya hanya dilakukan secara online," kata Khai ketika dihubungi Gempak.

Tambah Khai, sepulangnya dia ke kampung, dia juga membuat kuarantin sendiri untuk memastikan ahli keluarga di rumah berada dalam keadaan selamat.

Khai juga memberitahu tiada tema khusus untuk Aidilfitri kali ini, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Raya kali ini hanya ada keluarga dan adik beradik yang sememangnya sudah berada di Perlis. Tiada lagi yang pulang ke kampung.

"Kalau tahun lalu, tema kami sekeluarga memakai warna hitam, tapi untuk tahun ini tidak ada sebarang tema. Pakai apa yang ada sahaja," kata Khai ketawa kecil.



Padanya, apa yang lebih penting adalah mereka sekeluarga dapat berkumpul menyambut lebaran bersama-sama.

Ditanya Gempak tentang juadah Aidilfitri yang menjadi kegemarannya, pantas Khai menjawab.

"Rendang makan dengan ketupat atau nasi impit dan pastinya kuih ros yang Mak buat," kata Khai.

Khai juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminatnya yang tak pernah jemu menyokong kariernya selama ini.



"Ramadan lalu Khai berkolaborasi bersama Inteam dengan lagu Setanggi Syurga, dan Alhamdulillah lagu tersebut mendapat sambutan yang sangat baik.

"Semua ini adalah kerana sokongan peminat tidak kira masa, walaupun lagu itu dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada promosi secara fizikal dapat dibuat," kongsi Khai lagi.

Khai juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua peminat-peminatnya tidak kira di mana mereka berada.

"Insya-Allah ada rezeki, apabila semuanya selamat dan keadaan sudah pulih, mungkin tahun hadapan kita dapat beraya bersama-sama," ungkap Khai buat peminat-peminatnya.

Selain itu, Khai juga memohon agar peminat-peminat semuanya menjaga keselamatan diri sepanjang musim perayaan ini dengan menjaga kebersihan diri, melakukan penjarakan sosial dan juga kerap membasuh tangan dan menggunakan hand sanitizer seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kredit Gambar: Starvilion