Penyanyi Zizi Kirana, 35, memohon kepada warganet untuk memberi dia masa bagi memadam semua gambar seksi yang pernah dimuat naik di Instagram (IG), sebelum ini.

Menurut Zizi, kesabaran amat diperlukan kerana media sosialnya mempunyai jumlah foto yang banyak.

"Kelakarlah netizen ni. Bila keluar kenyataan 'saya dah padam gambar seksi', kelam kabut terus scroll sampai ke gambar pertama yang aku muat naik dulu.

"Pastu bila ada gambar yang aku tertinggal terus kata tak padam pun.

"Gaisss! Santai baa.. Satu-satu ok! Kesabaran amat diperlukan di sini. Sebab banyak gambar la kat feed tu," tulisnya.

Pencerahan itu dibuat oleh Zizi menerusi sebuah entri di Instagram Stories miliknya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Eh turut mendoakan kebaikan untuk semua orang.

"Slow dan steady! Saya doakan kebaikan diberikan kepada korang semua," tulisnya lagi.



Menerusi pemerhatian Gempak, hanya 1,567 keping foto yang tinggal dalam akaun IGnya yang mempunyai lebih 800,000 pengikut itu.

Terdahulu, menerusi laporan mStar, Zizi mendedahkan dia mula menjaga penampilan dengan tidak memakai pakaian yang terdedah selepas ditegur oleh ibunya.


Sumber: mStar & Instagram Zizi Kirana