BERITA
Minta Pelajar Praktikal Cukur Bulu Kemaluan, Pembantu Tadbir Didakwa Aibkan Wanita
Seorang pembantu tadbir jabatan kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan mengaibkan pelajar praktikal dengan memintanya mencukur bulu kemaluan, tiga bulan lalu.
Mohamad Aznee Osman, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang pelatih wanita berusia 23 tahun, dengan memintanya mencukur bulu kemaluan tertuduh di pejabat jabatan berkenaan, di sini pada jam 1.58 petang, 4 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor M Alli Nangai mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu lelaki itu diberi jaminan pada kadar minimun.
“Dia menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang salah seorangnya adalah orang kurang upaya,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.
Majistret, Farah Nabihah juga melarang tertuduh mengganggu saksi terutama mangsa dan menetapkan sebutan kes pada 3 September ini.
Sumber: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian