“Minta Tolong Kirimkan Al-Fatihah…”- Isteri Ifan Seventeen Ditemui Mati

Syafiqah Jalal
Disember 24, 2018 23:38 MYT
Isteri vokalis Seventeen, Dylan Sahara yang dilaporkan hilang ketika badai tsunami malam Sabtu lalu ditemui mati semalam.
Berita itu disahkan sendiri suaminya, Riefan Fajarsyah atau Ifan menerusi akaun Instagram miliknya.
Ifan meminta semua mengirimkan al-Fatihah buat isterinya.
“Alhamdulillah udah ketemu istriku @dylan_sahara
Makasih ya temen-temen doanya, cuma Allah yang bisa bales kebaikan temen-temen.
Minta tolong kirimin al-fatihah ya buat istriku @dylan_sahara InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma amin,” tulisnya.
Dylan yang juga seorang pelakon dan pengacara hilang sejak Sabtu lalu selepas pentas persembahan kumpulan Seventeen di Tanjung Lesung Beach Resort dipukul gelombang tsunami.
Sementara itu, Kompas.com melaporkan, jenazah Dylan ditemui di Hospital Pandeglang selepas dikenal pasti kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan).
Pengurusan Seventeen, Aconk berkata, ketika ini, jenazah sudah dibawa menuju Hospital Serang untuk dimandikan.
Mengimbas ketika kejadian, Dylan berada di belakang pentas tempat Seventeen mengadakan persembahan untuk satu undangan acara himpunan sebuah syarikat elektrik Indonesia yang dihadiri 260 orang.
Ifan, satu-satunya anggota kumpulan itu yang terselamat selepas dua pemain gitarnya, Herman Sikumbang dan Muhammad Awal Purbani serta pemain dram, Andi disahkan terkorban.
#Meninggal Dunia #Seventeen #Mati #Tsunami #Ifan Seventeen