Hiburan

Misha Back To Basic Showcase Buai Emosi, Eksperimentasi Misha Omar Luar Imaginasi - “Bukan Jual Lantang Tapi Soul”

gempak
Khairil Khusyairi
24/12/2024
20:50 MYT
Sponsor Banner
Misha Back To Basic Showcase Buai Emosi, Eksperimentasi Misha Omar Luar Imaginasi - “Bukan Jual Lantang Tapi Soul”
Showcase Misha Back To Basic yang berlangsung minggu lalu mencipta satu kenangan manis buat penyanyi Misha Omar dan juga peminatnya.
Showcase yang dihadiri kira-kira 2,000 penonton itu adalah bukti sokongan peminat yang terus menyayangi bakat suara yang dimiliki penyanyi yang diberi julukan ‘ratu emosi’ itu.

Queen of Emotion

Membuka panggung dengan karya agung, Cinta Adam & Hawa, Misha membawa penonton terbuai dengan muzik melankolik indah bersulam lirik syahdu.
Ruang acara gamat dengan susunan muzik yang bersatu menjadikan melodinya sebuah kombinasi yang cemerlang.
Lontaran vokal sepatah demi sepatah membuatkan Misha sangat ‘berkuasa’ dalam aspek penghayatan apabila mendendangkan lagu Sembunyi.
Air mata Misha juga tumpah apabila sorak-sorai memenuhi ruang seolah penonton mudah merasai apa yang cuba disampaikan.

Eksperimentasi Misha Omar

Menurut Misha, showcase Back To Basic adalah ruang terbaik untuknya dan pasukan dalam mencuba peluang menjadi penghibur yang berani dan versatil.
“Peminat saya sememangnya menunggu momen ini. Saya tahu mereka menunggu sesuatu yang besar tapi pada saya sebelum kita mahu melakukan yang besar ada baiknya kita ‘test the water’.

“Sesuatu perhubungan yang jaraknya jauh harus dirapatkan dulu. Jadi saya rasa showcase adalah bagus untuk saya bereksperimentasi. Saya sukakan itu.

“Muzik dan keperibadian itu perlu seiring, saya rasa lebih dekat dengan pendengar-pendengar saya,” ujar Misha ketika ditemui pemberita usai showcase.

Bukan Jual Lantang Tapi 'Soul'

Tidak pernah gagal dalam menjentik emosi, Misha membuktikan dia adalah seorang yang mempunyai pengaruh dan gaya tersendiri dalam menghiburkan peminat.

“Misha Omar seorang yang suka bercerita yang akan menyentuh hati dan selalu bawa perasaan.

“Dia bukan jual lantang, ‘range’ tetapi dia jual ‘soul’. Saya tahu setiap artis itu ada kelebihan masing-masing.

“Saya tahu apa yang saya mampu beri kepada pendengar saya,” ujarnya.
Energi Misha terus membara apabila lincah menari di atas pentas ketika menyanyikan lagu Oops! I Did It Again, Bye Bye Bye dan Watch Me Glow secara ‘mash up’.
Misha turut mempersembahkan lagu Die With A Smile bersama Hariz Fahayet selaku pemenang pencarian teman duet.
Hampir dua jam beraksi, Misha berjaya membuat ramai terpesona dengan seleksi hits seperti Pulangkan, Ku Seru, Halaman Cinta, Bunga-Bunga Cinta, Masihkah Ada Rasa Itu, Dedebu Cinta, Tiada Ruang Untukmu, Semoga Abadi dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Misha juga memberi penghargaan kepada pendatang baharu dalam dunia muzik tanah air apabila mendendangkan lagu Masing-Masing nyanyian Ernie Zakri, Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali dan Semalam dari Aina Abdul.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024