HIBURAN
Misha Omar Pernah Terfikir Nak Bersara, Mahu Ikut Suami Berhijrah - “Takkan Nak Biarkan Dia Terkontang Kanting, Saya Sayang Suami Saya”
Penyanyi, Misha Omar mendedahkan pernah terfikir untuk bersara dalam bidang nyanyian yang diceburi lebih dua dekad lalu.
Sayang suami
Menurut Misha, keputusan kerana mahu mengikut suaminya yang juga seorang juruterbang untuk berhijrah kerana mendapat tawaran kerja di luar negara.
"Sebenarnya hasrat untuk bersara itu ada. Jujurnya waktu itu iaitu beberapa tahun lalu macam sudah nak hampir untuk saya bersara kerana suami mahu berhijrah selepas mendapat tawaran kerja baharu di luar negara.
'Terfikir juga kalau suami saya berhijrah, ini bemakna saya kena melepaskan kerjaya nyanyian saya.
"Takkanlah saya nak biarkan suami terkontang-kanting seorang diri. Saya sayangkan suami," katanya.
Misha berkata demikian ketika ditemui pada majlis Raya Bersama Sony Music Malaysia pada Khamis.
Belum tiba masa bersara
Bagaimanapun kata Misha, dia membatalkan hasrat tersebut selepas suaminya, Firos Ezwan Rosli menolak tawaran kerja tersebut selepas berfikir panjang.
"Alhamdulillah saya masih di sini dan Tuhan belum mengizinkan untuk saya bersara.
"Selepas memikirkan mengenai persekolahan anak-anak dan kebetulan anak sulung kami, Adam bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), suami akhirnya menolak tawaran itu.
"Kalau tanya saya hidup ini ada pembukaan dan ada penutupnya. Tidak mungkin saya boleh menyanyi selama-lamanya. Itu satu lumrah yang saya rasa adil," jelasnya.
Mahu tenang
Dalam pada itu, kata Misha sekiranya ditakdirkan bersara, dia mengharapkan biarlah perkara itu berlaku dalam keadaan tenang dan semula jadi.
"Saya selalu berserah pada Yang Maha Kuasa. Kalau nak bersara pun dalam keadaan aman-aman sahaja. Tiba-tiba dapat tahu saya sudah tidak lagi menyanyi
"Tak adalah sampai tahap nak buat pengumuan rasmi, Saya selalu mohon ia berlaku secara semula jadi. Saya seorang yang sebelum buat sesuatu keputusan, akan fikir sehabis-habisnya.
"Saya juga akan terus bertanya dan bertanya dengan kawan-kawan untuk dapatkan kepastian mengenai keputusan yang dibuat itu," ujar Misha.