Misi Faizal Tahir Menjejaki Lelaki Jepun Yang Menyanyikan Lagu Assalamualaikum Akhirnya Berjaya.

Badrul Hashim
Disember 4, 2018 04:41 MYT
Pertengahan November lalu, Faizal Tahir yang sedang popular dengan lagu Ragaman memuat naik sebuah video di laman Instagram beliau. Video tersebut memaparkan seorang pemuda Jepun menyanyikan lagu Assalamuailakum yang dirakamkan oleh beberapa orang rakyat Malaysia yang berada di Jepun ketika itu.
Faizal kemudiannya berkongsi video tersebut sambil meminta pertolongan peminat dan netizen untuk mencari lelaki tersebut. Ramai yang memberikan sokongan dan cuba membantu. Salah seorang daripada peminat Faizal berjaya mendapatkan Instagram pemuda Jepun berkenaan.
@acha_abdkarim menulis “bro @faizal_tahir, this guy @terrybird.jp
Akhirnya Faizal ke Jepun untuk menjejaki lelaki tersebut. Beliau bertemu dengan Terry di Ikebukuro, Tokyo, Jepun. Terry atau nama sebenarnya Takaaki Torihira, 24, turut membawa Faizal ke Osaka di mana dia berasal.
Faizal kemudian mengotakan janjinya membawa Terry ke Malaysia. Menurut Terry, dia sememangnya meminati lagu-lagu Melayu dan cuba menguasai Bahasa Malaysia dengan mendengar lagu-lagu yang diminati.
Pagi tadi, Faizal dan Terry sempat singgah di studio Sinar FM untuk ditemu bual oleh penyampai Adifashla dan Salleh Yaacob. Terry turut berkongsi beberapa lagu Melayu yang diminati beliau bersama pendengar Sinar.
Mungkinkah ini permulaan buat Terry untuk melebarkan sayapnya menjadi penyanyi di Malaysia? Mana tahu Faizal mungkin ada perancangan istimewa buat beliau. Sama-sama kita nantikan.
#Faizal Tahir