Laman Utama
Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong Positif Covid-19 – “Saya Menggigil Bila Dapat Tahu, Tak Tahu Nak Buat Apa”
Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James mengesahkan dirinya kini sudah bebas dari virus Covid-19 selepas dua minggu menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.
Francisca, 25, yang tidak mengalami sebarang simptom disahkan dijangkiti Covid-19 sejak dua minggu lalu.
Bercerita lebih lanjut perihal virus terbabit, dia pada mulanya ketakutan hinggakan menggigil ketika mendapat tahu dirinya positif Covid-19.
"Apabila saya mendapat keputusan, saya anggap ia kesilapan diri saya sendiri, tapi saya sudah melakukan segalanya yang patut. Saya pakai pelitup muka, sanitize, cuci tangan saya tapi masih terkena.
"Cara terbaik untuk bertenang adalah menerimanya dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) selanjutnya.
"Ketika mendapat keputusan saya positif Covid-19 saya menggigil, saya tak tahu apa yang harus dilakukan. Kemudiannya saya menelefon ibu dan ayah saya, memang takut untuk memaklumkan berita itu kepada mereka kerana takut mereka bimbang.
"Mujurlah, mereka telah menenangkan saya dan menyuruh saya patuh kepada SOP dan memaklumkan kepada Elaine Daly.
"Saya menghubungi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan saya dinasihati untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah kerana saya tidak mengalami sebarang simptom. Saya takut sangat untuk menerima keputusan ujian swab kerana saya langsung tiada masalah, semuanya okey, tiada demam, cuma sedikit sakit belakang dan selesema," ceritanya.
Sepanjang kuarantin selama hampir dua minggu, Francisca hanya bermeditasi dan memastikan dirinya sentiasa bersih.
"Saya masih melakukan pengasingan kendiri untuk memastikan semuanya okey. Saya minta maaf kerana tidak memaklumkan keadaan saya kepada semua namun saya sudah maklumkan kepada kontak rapat dan syukur keputusan ujian swab mereka negatif.
"Saya kemudian melakukan ujian swab sekali lagi selepas 10 hari kuarantin dan keputusannya juga negatif," katanya yang sudah semakin beransur pulih.
Gadis kelahiran Sarawak itu juga berpesan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan diri, mematuhi SOP dan berada di dalam rumah jika tiada keperluan.
Must-Watch Video