Misteri kehilangan seorang taikun hartanah sejak 4 Julai lalu di Thailand terungkai dengan penemuan anggota badannya yang dikerat lalu disumbat ke dalam sebuah peti sejuk.

Taikun kelahiran Jerman bernama Hans Peter Mack, 62, sudah beberapa tahun menetap di Thailand dan berkahwin dengan wanita dari negara Gajah Putih, Piraya Boonmak, 24. Mack juga telah memiliki kerakyatan Thailand sejak beberapa tahun lalu.



Mayatnya ditemui di dalam peti sejuk di sebuah rumah sewa di Selatan Thailand sekitar pukul tengah malam pada 11 Julai 2023, demikian kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa seperti dilaporkan CNA.

Menurut laporan sama, pihak berkuasa berjaya menjejaki kehilangan Mack menerusi rakaman CCTV. Mereka bagaimanapun tidak memperinci butiran yang lain.

Namun menerusi pendedahan yang dibuat pihak media tempatan, sebuah peti sejuk warna putih telah dibawa dalam trak hitam.

Malah foto di tempat kejadian yang tersebar memperlihatkan ada gergaji, air dan beberapa botol.

Selain penemuan mayat, sejumlah wang juga telah dikeluarkan daripada akaun Mack sepanjang kehilangannya.

Kronologi kes mendakwa Mack kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Mercedes di kawasan Pattaya sebelum dilaporkan hilang. Kereta tersebut kemudian ditemui di parkir dalam keadaan ‘bersih’ seperti suspek mahu menghapuskan bukti.

Isterinya membuat laporan kehilangan Mack sehari selepas suaminya tidak pulang ke rumah dan menawarkan sejumlah wang kepada individu yang dapat menjejaknya.

Mack didakwa keluar bertemu rakan perniagaan dari negaranya untuk membincangkan tentang penjualan dua hartanah termasuk sebuah kolam.

Pihak berkuasa juga telah berjaya menahan rakan niaga Mack untuk soal siasat.