Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan info grafik menyenaraikan sektor dibenarkan beroperasi tempoh 'total lockdown' Fasa Pertama bermula 1 hingga 14 Jun ini sebagai palsu.

Miti menerusi hantaran di laman sosial Twitter berkata, pihak mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang info berhubung perkara tersebut.

Katanya, senarai itu akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bukannya MITI.

Info grafik berkenaan tular di media sosial selepas pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Kandungan info grafik yang ditularkan menyatakan tentang beberapa sektor ekonomi dan perkhidmatan yang dibenarkan sepanjang ‘total lockdown’ termasuk peruncitan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan dalam tempoh itu semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan yang disenaraikan MKN.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.