Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mizz Nina Terima Anugerah Ikon Aktivis Kemanusiaan Maulidur Rasul Kebangsaan

Gempak
09/10/2022 20:00 MYT
Selebriti Mizz Nina, 42, menjadi antara penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Ahad.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman dipilih menerima anugerah bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan berikutan pelbagai sumbangan dan jasanya dalam misi kemanusiaan dijalankan sehingga ke luar negara.

Difahamkan Mizz Nina aktif sebagai aktivis kemanusian sejak 2013 dan sudah melakukan misi bantuan kemanusiaan sehingga ke Palestin pada 2017.

Tidak hanya itu, Mizz Nina juga komited untuk berkongsi dan memberi kembali kepada masyarakat menerusi jalinan kerjasama dibuat dengan pelbagai organisasi seperti Cinta Syria Malaysia, 1moment4them, Possible Dreams International, Feeding The Needy, Miasa dan Into Taqwa Malaysia untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Pada Mei tahun lalu, menerusi Tabung MyAqsa Defenders (MAD) yang disertai 20 badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan dikhabarkan berjaya mengumpul dana hampir RM17.9 juta hasil sumbangan orang ramai untuk rakyat Palestin.

Hasil sumbangan itu juga dimaklumkan diguna secara berperingkat untuk disalur kepada klinik Malaysia Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, kafalah keluarga miskin di Baitulmaqdis dan bantuan kecemasan Gaza.

Sementara itu, menerusi tinjauan di Instagram Mizz Nina mendapati dia berkongsi beberapa ucapan tahniah yang diterima daripada rakan dan kenalan di Instgram Story di atas penganugerahan diraih.

Pada acara berlangsung hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan penganugerahan itu kepada semua penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan.

Sumber Harian Metro

#Mizz Nina #Maulidur Rasul #Ikon Maulud
;