Pemilihan Cali, wakil tunggal dari Brunei di Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019, sebagai penerima plak ‘Oppo Puncline Machine’ di minggu pertama menjadi pertikaian warga net yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Ramai warga net yang berpendapat, Cali tidak layak menerima gelaran tersebut kerana ada peserta yang lebih baik.

Cali ketika ditemui Gempak mengucapkan terima kasih kepada pengundi terutama warga Brunei yang telah mengundi mereka.

“Ini pertama kali MLM ada perserta dari Brunei, terima kasih kepada orang-orang Brunei kerana telah meluangkan masa mengundi kami,” kata Cali yang dianggotai Tony dan Khai.

Sementara itu Pengurus Saluran Astro Warna, Prima & InTrend, Norzeha Mohd Salleh berkata, pemilihan Cali dilakukan berdasarkan bilangan pengundi tertinggi yang dibuat secara online.

“Tidak apa yang perlu dipertikaikan mengenai pemilihan Cali sebagai penerima ‘Oppo Punchline Machine’ kerana orang-orang di Brunei mengundi mereka.

“Jumlah undian di antara tempat pertama dan kedua juga banyak beza. Cali dipilih kerana mereka telah mendapat sebanyak 11,223 undian berbanding kumpulan yang berada di tempat kedua yang menddapat 2,861 undian.

“Kita seharusnya memuji semangat yang dipamerkan oleh peminat-peminat Cali di negara Brunei kerana mereka bersatu untuk melihat perserta yang mewakili negara mereka menjadi nombor satu.

“Oleh itu jika mahu peserta kegemaran anda menerima ‘Oppo Punchline Machine’ lakukan undian secara Online,” katanya.

Selain Cali, Jborn pula telah menerima ‘Flamitoz Kumpulan Paling Syok’ dan menerima cek berjumlah RM1,000.

‘Flamitoz Kumpulan Paling Syok’ diberikan kepada peserta berdasarkan jumlah markah tertinggi yang diberikan juri setiap minggu.

Minggu pertama MLM 2019 menyaksikan tiga perserta kerusi panas iaitu Halus, Smart dan OnxOn berada di pentas penyingkiran bersama kumpulan Puteh.

Bagaimanapun tiada penyingkiran berlaku.

MLM 2019 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam pada setiap Jumaat.

Bersiaran selama 11 minggu, MLM 2019 juga boleh ditonton di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) pukul 9 malam.