Pelawak Johan tidak ragu-ragu memberi komen kepada peserta Maharaja Lawak Mega (MLM2019), walaupun mereka merupakan rakan-rakannya.

Malah ada di antara mereka yang sama-sama bersaing dengan Johan yang ketika itu bersama Zizan dalam kumpulan Jozan di pentas MLM pada tahun 2012.

Mengakui memikul tanggung jawab sebagai juri bukan sesuatu yang mudah, Johan berkata, dia perlu berlaku jujur ketika memberikan pendapat atau komen.

“Walaupun mereka kawan-kawan saya, tetapi saya perlu jujur dalam komen-komen saya.

“Pelawak-pelawak ni semua datang jumpa saya, tak pernah pun mereka berlawak tetapi selalunya membincangkan perkara serius.

“Jadi malam ini, saya hanya memberitahu kepada mereka sekiranya ada kekurangan atau kesilapan di mana-mana…itu sahaja,” katanya.

Tambah Johan lagi, keseluruhan peserta mempunyai jalan cerita yang menarik dan itu adalah permulaan yang baik untuk malam pertama.

“Semua ada jalan cerita yang bagus, cuma ada kelonggaran di ‘sana-sini’ dan itu biasa. Walaupun sudah senior dalam MLM tetapi ada yang masih dalam fasa mencari ‘chemistry’ kerana telah bertukar-tukar anggota kumpulan.

“Jika ada yang mendapat 5 HA malam ini mereka tidak boleh terlalu selesa sebaliknya perlu terus kekalkan momentum yang ada malam ini.

“Yang tidak mendapat 5 HA, bukan tak bagus tetapi ‘kurang homework’,” katanya.

Dalam pada itu Johan turut berpesan kepada peserta MLM 2019 supaya sentiasa tolong-menolong di antara satu dengan yang lain.

“Bertandinglah dengan sihat. Jadikan MLM ini pentas untuk menjalin silaturrahim keluarga pelawak. Jangan ada iri hati atau dengki,” katanya.

Selain Johan, Datuk Awie turut diundang sebagai juri jemputan bersama Inul dan Lisa Surihani yang bertindak sebagai juri tetap sepanjang MLM 2019 berlangsung.

Malam pertama MLM 2019, menyaksikan tiga kumpulan Kerusi Panas berada di pusigan penyingkiran bersama kumpulan Puteh.

Bagaimanapun tiada penyingkiran berlaku.

Teruskan bersama MLM 2019 setiap Jumaat, 9 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

MLM 2019 bersiaran langsung dari auditorium Royal Teater Shah Alam.