Pentas Maharaja Lawak Mega 2021 sudah memulakan persaingannya menerusi episod pertama yang berlangsung meriah malam Jumaat lalu.

Salah satu kumpulan yang berjaya mencuri perhatian dalam pertandingan tersebut adalah kumpulan Bahye.

Bahye dianggotai oleh tiga orang iaitu penyanyi Ahmad Zahid Baharudin atau Zahid, Mohd Nornizam Mohd Yusof atau Nizam Jentik Jentik dan Muhammad Noor Shashic Iewan Norihan atau nama samarannya, Shashic.

Kumpulan tiga pelawak ini menjadi perbualan kerana Shashic yang mengalami masalah gagap. Kekurangan lelaki berusia 30 tahun ini menimbulkan beragam pandangan.

Ada yang berpendapat Bahye memanipulasi kekurangan Shashic dan bergantung kepada kegagapannya untuk membuat khalayak ketawa.

Malah salah seorang juri tetap, Noh Salleh mengaku keliru untuk ketawa kerana bimbang dirinya menertawakan kekurangan dan gagap Shashic sebagai sebuah hiburan.

Namun, lain pula pandangan yang diberikan oleh Elly Mazlein atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom.

Menerusi laman Instagramnya, Elly menuliskan pendapat dengan panjang lebar. Artis versatil yang sedang hamil ini menyifatkan kekurangan Shashic sebagai kelebihan.

Dia juga memuji sikap berani Shashic yang mencabar diri dan membawa kelebihannya di atas pentas besar bersaing dengan para pelawak hebat seperti di MLM 2021.

"Kekurangan itu adalah kelebihan. Dia berada di pentas untuk membuktikan Golongan OKU, Istimewa, Gagap juga mmpunya impian yang sama untuk berjaya.

"Dia sedang melaksanakan tugas di pentas yang bukan biasa biasa," tulis Elly Mazlein bersama foto kumpulan tersebut.

Elly juga menyifatkan biar diri pelawak itu sedang ditertawakan, namun Shashic sedang menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan terhadap dirinya untuk menghiburkan orang.

"Dia kan tengah buat keja tu...Untuk apa? Untuk menghiburkan orang dan tunjuk kepada dunia yang mereka mampu dan juga punya bakat.

"Kita sebagai penonton bukan ketawa sebab kekurangan dia atau mengejek dia... takkkkkkk.

"Kita ketawa sebab kita terhibur dengan apa yang dia usahakan dan terpegun dengan keberanian dia .. dan nak ingatkan juga, dia kan tengah bertanding tu ..

"Kamu mesti tau .. kalau kita buat sesuatu, dan dapat respon, mesti kita akan lebih bersemangat kan?

"Kalau dia yakin dengan bakat dan kebolehan dia, kenapa kita pula tidak yakin dan keliru dgn apa yang dia buat??

"Itu sebabnya kita selalu kena ada di landasan positive.. ya kadang kadang kita akan fikir negative dan positive, kalau positive lebih banyak, kita pilih lah positive.. Asalkan kata kata positive kita tu boleh bagi suntikan yang dashyat kepada mereka," tulisnya lagi panjang lebar.



Terakhir, selain menyeru agar setiap orang memberi peluang kepada golongan ini berkarya dan percaya kepada mereka, Elly mengatakan dorongan yang diberikan sedikit sebanyak akan membuat golongan istimewa untuk terus berdikari.

"Apa yang dia buat, sedikit sebanyak akan memberi dorongan Golongan Istimewa untuk terus berdikari .. dan buang segala ketidak keyakinan diri .. percayalah, Keluarga merekalah di antara orang yang paling happy sebab anak special mereka luar biasa.

"Ketawakan orang waktu bersembang sebab dia cakap gagap, salah.

"Ketawa ketika dia buat persembahan di pentas yang hebat untuk mnghiburkan penonton betul, nahhhh apiii.

"Go #Bahye nahhhh apiii...

"Maaf salah silap keterlanjuran kata sepanjang karangan Tingkatan 3 Melor , Haslin bte Yaakop.. atau lebih dikenali sebagai LINKOPPPPP .. laka² takkkkkk," katanya sambil memberi semangat kepada Bahye.

Kata kata semangat yang dititipkan Elly itu menerima sokongan positif dalam kalangan pengikutnya.

Sementara itu jangan lupa saksikan MLM 2021 setiap Jumaat, bermula 9 malam secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Mengangkat tema Aura Baharu, Lawak Terpadu, program realiti pertandingan komedi yang dinantikan ramai ini bersiaran secara langsung dari Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Instagram: @iamellymazlein