Kumpulan Cawan mengakui dilabel underdog di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021, meskipun sudah lama berada dalam industri komedi tanah air.

Che Mat ketika dihubungi Gempak berkata, kumpulan Cawan tidak mengambil hati sekiranya mereka tidak dikenali atau masih belum terkenal.

“Walaupun kami sudah lama dalam industri komedi, namun kami tahu nama kami tidaklah terlalu menyinar seperti pelawak-pelawak lain.

“Dalam pertandingan MLM ini pun kami dianggap underdog, tak mengapa. Kami berada di pentas ini untuk berkarya bukan mencari populariti.

“Populariti adalah bonus bagi setiap pemain industri. Apa yang penting Cawan fokus dengan perjuangan dan tujuan kami di MLM 2021,” katanya.

Tambah Che Mat, populariti bukan isu yang besar kerana apa yang penting buat mereka ialah masih bertahan dan relevan dalam industri.

“Popular atau tidak, bukanlah satu isu untuk berada di pentas MLM ini. Apa yang penting masih bertahan dan relevan. Macam saya sendiri menyertai program Raja Lawak sejak 2007 dan masih berada dalam industri sehingga hari ini.

“Saya masih aktif melakukan kerja-kerja pengacaraan, teater dan penggambaran drama atau telefilem. Begitu juga dengan Wan Gegau dan Aliff Yasraf,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan Cawan selepas dua minggu berada di pentas MLM 2021, Che Mat, Wan Gegau dan Aliff Yasraf berharap agar mereka dapat mengekalkan momentum sedia ada.

“Alhamdulillah, dua minggu ini persembahan kami berada pada tahap memuaskan, meskipun juri lebih suka pada persembahan di minggu pertama.

“Cawan berharap agar dapat melakukan yang terbaik dan mengekalkan momentum yang ada sekarang dan bangkit kembali pada minggu ini,” katanya.

MLM 2021 dibawakan secara langsung setiap Jumaat, 9 malam ditayangkan eksklusif di Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Penyampai radio SINAR, Dina Nadzir bertindak sebagai pengacara “Backstage MLM 2021”, edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir MLM 2021.

Manakala penyampai radio GEGAR, Issey Fazlisham dan penyanyi baharu kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz memegang peranan sebagai pengacara program Live Plus (Live +).

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!