Minggu separuh akhir Maharaja Lawak Mega (MLM 2021) menyaksikan Bahye, Boro, Tobat, Puteh dan Tiro mara ke final.

Namun nasib kurang menyebelahi Otai apabila nama mereka diumumkan sebagai bintang yang tersingkir minggu ini.

Kesemua peserta minggu separuh akhir tampil menerusi dua persembahan yang bertemakan Konti Radio pada tugasan pertama, manakala Hobi untuk tugasan kedua bersama artis jemputan.

Bagaimanapun persembahan kumpulan Puteh di segmen kedua mengundang sebak sehingga juri tetap, Uqasha Senrose dan Diana Danielle mengalirkan air mata.

Lebih-lebih lagi apabila Ali mengungkapkan beberapa bait ayat atau nasihat abangnya, arwah Abam dalam sketsa tersebut.

Namun tetamu jemputan Puteh, Joey berjaya mengimbangi keadaan sedih menjadi kembali neutral dan mendapat pujian juri.

Sementara itu, untuk Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat diberikan kepada kumpulan Bahye sekaligus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500.

Melihat kepada persembahan mereka, masing-masing memberikan yang terbaik dalam usaha untuk menempah kedudukan ke pentas akhir MLM2019 yang akan berlangsung ‪pada Jumaat depan.

Ini merupakan markah penuh MLM 2021 bagi minggu kesembilan.

BAHYE - 59.33%
PUTEH - 58.93%
TOBAT - 58.92%
BORO - 57.19%
TIRO - 56.16%
OTAI - 38.66%

MLM 2021 dibawakan secara langsung setiap Jumaat, 9 malam ditayangkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107).

Untuk pilihan yang fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Dalam pada itu penyampai radio SINAR, Dina Nadzir bertindak sebagai pengacara ‘Backstage MLM 2021’, edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir MLM 2021.

Manakala penyampai radio GEGAR, Issey Fazlisham dan penyanyi baharu kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz memegang peranan sebagai pengacara program Live Plus (Live +).