Kumpulan Tiro tidak menyangka akan menjadi kumpulan pertama yang menerima ‘Ha’ daripada ‘Sang Bara’ di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021.

Pemberian ‘Ha’ oleh ‘Sang Bara’ itu sekaligus meletakkan kumpulan Tiro yang terdiri daripada Sharif, Syaiful dan Danial sebagai ‘benchmark’ dalam pertandingan tersebut.

Selain ‘Sang Bara’, empat juri lain iaitu Datuk Rosyam Nor, Diana Daniell, Noh Salleh dan Uqasha Senrose masing-masing turut memuji persembahan Tiro dan memberikan ‘Ha’ kepada mereka.

Sharif ketika ditemui Gempak berkata, Tiro tidak menjangkakan akan menerima ‘5 Ha’ penuh daripada semua juri termasuk ‘Sang Bara’.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan. Kami sama sekali tidak menyangka juri suka dengan persembahan kami dan ‘Sang Bara’ berlembut hati nak bagi ‘Ha’.

“Serius, setiap kali ‘Sang Bara’ buka mulut kami cuak! Lagi-lagi kami tidak tahu siapa disebalik topeng naga ikon MLM itu.

“Apa pun Tiro mengucapkan terima kasih kepada pelakon senior berpengalaman, Mak Engku Faridah yang memantapkan lagi persembahan kami.

“Mak Engku telah memberikan 200% dalam persembahan tadi,” kata Sharif mewakili Tiro.

Selain mendapat tempat pertama dalam persembahan bersama selebriti jemputan malam tadi, Tiro turut menerima Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat ADABI berjumlah RM1,000.

Bagaimanapun kata Sharif, Tiro menerima pesanan Rosyam Nor supaya tidak terlalu selesa dengan kedudukan pada minggu kedua kerana perjalanan mereka di dalam MLM 2021 masih panjang.

“Apa yang dikatakan Datuk Rosyam itu betul. Bila kita dah ada satu persembahan yang menjadi ‘benchmark’ seperti yang disebut Datuk AC tadi, perkara tersebut memang membanggakan namun dalam masa sama ia juga membimbangkan.

“Takut kalau ramai meletakkan harapan tinggi termasuklah para juri supaya lawak kami setara dengan malam ini.

"Apapun Tiro akan cuba lakukan yang terbaik supaya tidak menghampakan penyokong kami di luar sana,” katanya.

MLM 2021 meletakkan Tiro ditangga pertama dengan markah penuh daripada juri dan undian online sebanyak 72.06%, merampas kedudukan Boro minggu lalu.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kumpulan Ori dianggotai Hamdan, Abu dan Achok apabila terpaksa meninggalkan pentas MLM 2021 dan berada dikedudukan terakhir dengan markah sebanyak 34.52%.

Di bawah markah penuh kesemua 11 kumpulan malam tadi: