Selepas ini, masalah kepada sesetengah penumpang yang tidak suka berbual dengan pemandu Uber akan selesai apabila syarikat tersebut memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi mereka.

Selasa lalu, Uber telah memperkenalkan ‘Mod Senyap’ untuk penumpang yang sukakan ‘perjalanan privasi’.

Ciri terbaharu tersebut diumum Uber di laman web rasmi mereka.

"Selepas ini anda hanya perlu membuat pilihan sama ada mahu membalas emel dengan tenang atau tidur sepanjang perjalanan. Tetapi jika mahu bersembang itu juga adalah pilihan,” tulis Uber.

Apa yang anda perlu lakukan ialah memilih mod ‘senyap’ atau ‘sembang’ di aplikasi selepas menempah kereta.

Bagaimanapun ciri terbaharu ini hanya boleh didapati sekiranya penumpang memilih untuk menaiki ‘Uber Black Premium’ atau ‘Uber Black SUV’.

Selain mod ‘senyap’, Uber turut membolehkan penumpang memilih perkhidmatan ‘Help with Luggage’ sekiranya memerlukan pertolongan pemandu untuk mengangkat beg anda.

Penumpang juga boleh memilih dan mengawal suhu penghawa dingin jika memilih mod ‘Temperature Control’.

Satu lagi ciri terbaharu yang akan membuat penumpang tersenyum ialah, mod ‘Extended Pickup Period’ yang membolehkan pemandu menunggu sehingga 15 minit berbanding kadar waktu biasa iaitu 1-5 minit sahaja.

Kaum wanita pula, mungkin akan menyukai ciri "Sokongan Premium" yang membolehkan penumpang mengakses kepada bantuan segera, sekiranya memerlukan.

Dalam pada itu Uber memberitahu, perubahan dilakukan untuk memberikan pengalaman dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.

Berita: People.com