Pelakon dan penulis lirik yang pernah popular dengan lagu Isabella, Bob Lokman meninggalkan coretan sayu di laman sosial Facebooknya.

Baca: Masalah Jantung & Paru-Paru, Bob Lokman Masuk Hospital

Dalam perkongsian yang menyentuh hati itu, Bob memaklumkan keadaan kesihatannya semakin merosot dan memohon doa daripada peminatnya.

"Aku jumpa doktor lagi hari ini, rutin seorang tua.

"Selepas segala kegembiraan dan kesedapan aku lalui, standard sudah berubah.

"Selera makan dan ghairah kehidupan sudah menurun sampai ke peringkat menunggu," tulisnya di Facebook.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 54, turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantunya selama ini.

"Hari ini kau semua datang kembali dalam realiti dan kenangan dan aku mula mengerti bahawa hubungan kita tidak hanya sampai sini, cuma mungkin aku yang akan mendahului dengan faktor yang aku miliki.

"Sahabat, terima kasih atas segala bantu dan aku membalas dengan mohon hembuskan aku ke syurga dan doamu jika nama ku gugur dahulu di Lauhul Mahfuz," tambah Bob.

Pesanan Bob itu mendapat perhatian daripada pengikutnya yang mendoakannya segera sembuh dan sihat.

"Kata-kata sang pengseni yang sangat meruntun jiwa, Abang Bob sihatlah seperti sediakala. Kami rindu keringat seni Abang Bob," tulis Sharnaaz Ahmad di Twitternya.

"Bob Lokman, penulis lirik lagu Rendang Tak Berbuah. Seorang legenda, dalam kesihatan semakin surut, mengirim teman semua mendoakan beliau," tulis anggota kumpulan nasyid UNIC, Najdi.


Bob ditahan di UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh akibat masalah jantung bengkak dan paru-paru berair pada awal Januari lalu.


Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: FB Bob Lokman