“Mohon Semua Faham & Jaga Privasi Saya” - Ini Permintaan Adik Abdur Rahman Pada Netizen
Mya Amri
17/09/2023 09:55 MYT
17/09/2023 09:55 MYT
Anak sulung kepada mangsa nahas kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan iaitu Abdur Rahman memohon orang ramai tidak lagi membuat hantaran membabitkan insiden tersebut.
Abdur Rahman memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Abdur Rahman berharap agar orang ramai memahami situasi dan menghormati privasinya.
“Tolong jangan update apa-apa pasal kemalangan yang menimpa pasal keluarga saya lagi ya selepas ini.
“Saya mohon untuk semua faham dan jaga privasi saya,” coretnya.
undefined
Dalam pada itu, ruangan komen hantaran berkenaan dihujani dengan ucapan dan doa orang ramai terhadap Abdur Rahman.
Terdahulu, media melaporkan berlaku kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah Honda HRV, sebuah Proton Wira, sebuah Perodua Bezza dan Perodua Alza yang dinaiki mangsa sekeluarga.
Dalam kemalangan tersebut, Abdur Rahman kehilangan ibu bapa dan empat orang adik dalam kemalangan yang berlaku di kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada awal September lalu.
Jenazah enam sekeluarga itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong, Johor.