Ibu kepada kanak-kanak autisme yang dibunuh pada Disember lalu, Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Ismanira Abdul Manaf, menitipkan ucapan menyentuh hati buat arwah anaknya.

Menerusi hantaran di platfom media sosial miliknya, Ismanira mengucapkan tahniah buat arwah yang sepatutnya menyambut hari graduasi di sekolah SK Damansara Damai (2), Petaling Jaya pada Khamis.

“Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan. Mommy bangga dengan setiap pencapaian abang. Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian abang, mommy tetap bangga.

“Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai (2) di atas jemputan ke Majlis Konvokesyen semalam, ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga,” coretnya.

Lebih meruntun hati, apabila Ismanira memaklumkan dirinya tidak dapat bergambar dengan arwah Zayn seperti ibu bapa lain.

“Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan Abang macam ibu bapa yang lain, mommy dapat edit macam ni je,” luahnya.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada ibu arwah dan memberikan kata-kata semangat.

Antara komen yang diterima:

“Tahniah mommy sebab jadi mommy yang hebat. Tahniah arwah Zayn Rayyan, tunggu mommy di syurga ye sayang. Walaupun dalam hati dan air mata tak henti berjurai,”

“Tahniah buat Zayn, mommy dan ayah Zayn sangatlah kuat. Menangis saya pagi ni tengok status ni. Al-Fatihah,”

BERITA TRENDING: Beri Sebab Berdiam Diri, Ibu Luah Kerinduan Pada Zayn: “Jumpa Lagi Ya Abang”


Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

BERITA TRENDING: Polis Sahkan Zayn Rayyan Mati Dibunuh


Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Sehingga kini pihak berkuasa giat mengesan suspek yang dipercayai mungkin mempunyai rekod jenayah seksual dan menolak spekulasi seperti Zayn didera oleh kedua ibu dan bapanya