“Mommy Ingat Akan Kehilangan Awak…”- Ummi Nazeera Cerita Detik Cemas Melahirkan Anaknya

Syafiqah Jalal
September 6, 2018 05:27 MYT
Pelakon Ummi Nazeera akui pengalaman mengandungkan anaknya, Ayra Aneesah Izzar yang baru dilahirkan 22 Ogos lalu agak mencabar kerana dia hamil plasenta previa tahap dua.
Ummi, 28, berkata kemuncak cabaran itu adalah ketika dia mengalami detik cemas sebelum melahirkan Ayra di Hospital Serdang, Selangor.
“Alhamdulilah Allah permudahkan saya untuk hamil tetapi mengandungkan awak (Ayra) merupakan cabaran kepada saya dan suami.
“Mommy (Ummi) hamil plasenta previa tahan dua dan mula mengalami pendarahan selepas Hari Raya Puasa baru-baru ini.
“Saya menangis ketika kejadian kerana mommy ingat akan kehilangan awak tapi Alhamdulilah semua berada di dalam keadaan yang baik.
“Saya pun berehat dan baring saahaja. Saya hanya keluar sekali seminggu. Buat apa yang boleh. Berdoa dan banyak bersujud kepadaNya,” katanya.
Pelakon Gol & Gincu Vol. 2 itu berkongsi pengalaman tersebut menerusi akaun Instagram (IG) miliknya.
Menceritakan pengalamannya melahirkan puteri sulungnya itu, Ummi berasa sangat takut saat doktor memberitahnya perlu melalui proses pembedahan.
“Saya mengalami pendarahan yang banyak sehingga tiga kali. Doktor kemudian memutuskan supaya saya melalui proses pembedahan.
“Mommy sangat takut dan hampir hilang rasa untuk menenangkan diri. Alhamdulilah daddy (suaminya) ada bersama menenangkan dan meminta supaya jangan mengangis sebaliknya beristigfar.
“Alhamudlilah pembedahan itu berjalan lancar dan tiada komplikasi. Masa melihat awak (anak) mommy sangat gembira. Sangat sempurna dan tekaan mommy betul, anak mommy perempuan,” katanya lagi.
Ummi selamat melahirkan bayi sulungnya pada jam 11.37 malam, pada 22 Ogos lalu.
Melahirkan anak di Hospital Serdang, Ummi bersalin lebih awal daripada tarikh yang dijangka oleh pihak doktor aitu ketika hamil 34 minggu.
Ummi mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Izzar yang merupakan seorang doktor.