Suami kepada aktres Izreen Azminda, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude menasihati bekas isterinya, Intan Liana Saleh yang memuat naik status berkenaan anak mereka di laman sosial.

Pemuzik bebas itu memuat naik teguran tersebut menerusi sebuah entri di laman Instagram sekitar 2.37 pagi tadi.

"Motif? Rasanya dah bolehlah stop dengan permainan ni. Tak habis-habis ke.. Post benda-benda 'poyo' ni.. Nak ajak makcik-makcik bawang suruh buat dosa banyak-banyak..

"Ada lah segelintir yang acah-acah suci tak ada dosa nak DM dengan caci makian segala bagai.. (yang mungkin baru keluar dari gua pun ada). Tu la ini la...

"Kerana apa.. Kerana post-post yang mengundang tak berkesudahan ni.. Hentikanlah.. Ni bulan baik tak payah nak mainkan isu sangatlah..

"Makin diam makin menjadi-jadi pula.. Saya jarang nak tegur kat IG ni.. Tapi dah banyak kali tegur kat belakang.. Tak faham bahasa je..

"Mungkin dengan cara ini (cara awak) boleh buat awak tu faham ye.. Untuk kebaikan semua pihak.. Dan kepada persatuan bwang Malaysia.. Sudah-sudahlah tu.. Cukup-cukuplah...

"Bulan baik ni tak payah nak maki-maki nak mencabar kesabaran orang... Ada benda yang jauh lagi baik korang boleh buat.. Sekian," tulis Ude.

Selain itu, Ude turut menyertakan hashtah #JanganMembawang dan #MindYourOwnBusiness.



Namun begitu, entri yang mengandungi luahan hati Ude itu telah pun dipadamkan oleh lelaki itu selepas beberapa jam dimuat naik di laman Instagram.

Krisis rumah tangga Intan dan Ude terlerai selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Gombak Timur, Taman Seri Keramat, Selangor pada 22 Mac lalu.

Ude mendirikan rumah tangga dengan Intan pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Areq Muqri yang berusia setahun.

Pada November tahun lalu, Intan dilaporkan rela bermadu dan akan mempertahankan rumah tangganya setelah mengetahui suaminya bernikah dengan Izreen.

Izreen kemudiannya membuat pengakuan terbuka, dia sah menjadi isteri kedua Ude sejak 8 Ogos 2017 dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera dan pengarah, Muhammad Riza Baharuddin pada 2012 dan bercerai selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.

Foto: Astro Gempak / BH Online / Instagram