BERITA
"Motor Ni Ajar Kita Banyak Benda..." - PU Amin Masih Guna Motosikal Yang Dah Berusia 16 Tahun
Pencetus Ummah (PU) Amin mengimbau kenangan kepada umum mengenai motosikal pertama yang dimilikinya sejurus selepas berjaya memperoleh lesen kenderaan.
Bahkan, PU Amin, 29, turut berkongsi cerita bahawa motosikal tersebut masih lagi digunakannya untuk kegunaan harian biarpun usianya sudah 16 tahun.
"Ini motor pergi sekolah dulu. Lepas tingkatan 4 mengamuk-ngamuk nak ambil lesen motor. Kumpul duit raya dan duit kerja katering lepas tu dapat buat lesen motor.
"Pujuk jampi ayah, akhirnya dapatlah beli motor Kriss terpakai bulan 12/2006. Masa tu hujung tahun nak naik tingkatan 5.
"Tolak campur dalam geran punya tahun, motor ni dah 16 tahun dah. Nombor dia pun ada ong. Itu bengkel cina cakap lah," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
PU Amin turut memuat naik berapa keping foto dirinya menunggang motosikal miliknya yang berwarna merah itu.
Kata PU Amin lagi, motosikal jenis Modenas Kriss itu terlalu banyak jasanya dalam hidup.
Biarpun pernah rosak beberapa kali, ujarnya, dia akan tetap membaiki kenderaan tersebut sehingga ke hari ini kerana terlalu sayangkan motosikalnya.
"Jasa dia banyak. Setianya kami bersama. Cinta tiada tandingan. Semoga kita terus hidup bersama. Kau rosak aku betulkan. Kalau aku rosak kau betulkan balik. Hidup Kriss!!
"Pada yang mula hidup, yang hanya ada motor, teruskan bahagia. Jangan ikut sangat kehidupan orang. Berseronoklah dengan kehidupan kita. Motor ni ajar kita banyak benda. Hidup slow slow.
"Ada rezeki, usaha lebih, ibadat tak tinggal, berkat doa mak ayah, Allah bagi korang lagi kenderaan yang bagus. Jaga diri atas jalan, jaga akhlak. Motor kita jiwa kita," luahnya.
Perkongsian PU Amin itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikut.
Bahkan ada juga yang menyuarakan hasrat untuk membeli sekiranya mahu dijual kepada umum.
"Legend motor ni.
"Nak jual beritahu ya," antara komen netizen.