Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Move On”- BMW Singapura Selamba Gesel Kereta Anak Sultan Johor, Laporan Polis Dibuat

Syafiqah Jalal
02/08/2022 04:48 MYT
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkongsi rasa kecewa apabila kereta miliknya calar ‘digesel’ sebuah kereta BMW di hadapan sebuah premis di Johor Bahru, Johor pada Isnin.

Tunku Idris berkongsi perkara berkenaan di satu kemas kini di akaun Instagram miliknya dan dalam masa yang sama turut berkongsi gambar kedua-dua kereta tersebut dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu.

“Perangai,” tulisnya dalam kapsyen.

Dari rakaman CCTV itu, kejadian berlaku pada pukul 2.17 petang ketika pemandu BMW bernombor pendaftaran Singapura itu masuk ke ruang parkir yang kosong.

Video berdurasi 60 saat itu menunjukkan pemandu lelaki keluar daripada kenderaan tersebut dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.

Tunku Idris menerusi InstaStory miliknya pula memberi bayangan ia sudah selesai dan sudah membuat laporan polis.

“Reported. Sorted. Move On,” tulisnya.

Sementara itu dalam laporan Utusan Online, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil maklum tentang kejadian tersebut.

Laporan polis mengenai kejadian tersebut dibuat di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.

Difahamkan, kereta dipandu Tunku Idris ialah kenderaan elektrik buatan Honda, iaitu Honda e, kereta yang menggunakan 100 peratus elektrik.

Menurut maklumat yang dikongsikan sebuah portal automobil terkenal, harga kereta itu bermula RM210,000 bagi pasaran Malaysia.

Turut difahamkan hanya terdapat empat unit sahaja kereta model itu yang berada di Malaysia dan salah sebuahnya dimiliki oleh Tunku Idris.
#Kemalangan #Tunku Idris #Langgar #BMW Singapura #Gesel #Kereta Anak Suktan Johor #Kereta Tunku Idris
;