HIBURAN
MPO Kembali Dengan Konsert Muzik Tradisional Bertaraf Dunia Simfoni Budaya II DFP Julai Ini
Buat pencinta muzik tradisional tanah air, satu lagi persembahan berprestij bakal mengisi malam anda dengan penuh warna budaya! Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) kembali mempersembahkan konsert bertemakan “Simfoni Budaya II” pada Sabtu, 5 Julai 2025, jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
onsert ini adalah kesinambungan daripada kejayaan besar “Simfoni Budaya I” yang telah mengangkat genre keroncong dan ghazal dalam format orkestra moden.
Kali ini, gabungan irama tradisional seperti joget, asli dan zapin akan digubah semula dalam bentuk orkestra oleh susunan pemuzik handal seperti Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar. Diterajui oleh konduktor berpengalaman Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini menjanjikan pengalaman audio visual yang menyentuh emosi dan sarat dengan jiwa kebudayaan Malaysia.
Antara karya malar segar yang akan dipersembahkan termasuklah “Fatwa Pujangga”, “Mas Merah”, “Nirmala”, “Joget Burung Merpati”, “Tudung Periuk”, “Mak Inang Kayangan” dan banyak lagi. Lebih menarik, barisan vokalis yang bakal menjayakan konsert ini bukan calang-calang — gabungan nama legenda dan generasi baharu yang punya suara tersendiri.
Nama besar seperti Datuk Andre Goh, lagenda Melayu asli sejak era Bakat TV 1972 akan membuat kemunculan semula di DFP. Turut serta ialah Hazra Dollah, juara Bintang Asli Remaja dan finalis 3 Juara kategori Irama Malaysia, serta Danial Chuer, bintang Idola Kecil dan peserta program realiti popular seperti Big Stage, Vokal Mania dan All Together Now.
Tidak ketinggalan, Rojer Kajol yang terkenal dalam genre ghazal dan merupakan anak didik Allahyarham Pak Ngah, serta Zehra Zambri, finalis Gegar Vaganza 11 yang sudah pun menjejak banyak pentas berprestij sejak awal 2000-an.
Dengan suasana mewah Dewan Filharmonik PETRONAS dan alunan muzik tradisional dalam gaya orkestra moden, “Simfoni Budaya II” menjanjikan malam yang pasti menggamit nostalgia dan membakar semangat kecintaan terhadap seni budaya negara. KOOL 101 turut tampil sebagai Rakan Radio Rasmi untuk konsert ini, menambah kehangatan promosi dan keterujaan buat peminat muzik tanah air.
Konsert akan berlangsung pada 5 Julai 2025 jam 8.00 malam dan tiket boleh didapati pada harga bermula RM179 hingga RM449, termasuk pilihan suite eksklusif. Untuk pembelian tiket, orang ramai boleh hubungi MPO di talian 03-2331 7007, e-mel boxoffice@dfp.com.my atau layari www.mpo.com.my.
Ikuti juga perkembangan MPO di media sosial melalui Facebook, Instagram dan TikTok di akaun @malaysianphilharmonicorchestra.