Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Muak Dengan Tuduhan ‘Cuci Duit’, Black Hanifah; - “Semua Aset Seperti Kapal & Villa Merupakan…”

Asyikin Mayudin
06/06/2023 23:52 MYT
Tidak habis lagi dengan isu dakwaan terlibat dengan pengubahan wang haram, penyanyi Black Hanifah menegaskan jika tuduhan itu benar sudah pasti dia akan disiasat oleh pihak berkuasa.

Menurut Black, segala hasil simpanan dan perniagaan atas talian yang berjaya diusahakan itu atas kerja kerasnya sendiri tanpa perlu melakukan perkara yang haram.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya perkara itu adalah tidak benar! Saya memiliki perniagaan yang berdaftar, saya bayar cukai setiap tahun. Saya ini rakyat Malaysia, saya akan ikut undang-undang negara.

“Kalau benar saya cuci duit, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis mesti akan siasat dan saya tidak duduk di sini, saya duduk dalam lokap.

“Tetapi sebab apa saya masih selamat kerana saya buat benda yang betul, semua aset yang saya miliki hasil simpanan dan perniagaan atas talian yang berjaya selain daripada doa orang sekeliling,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Teman Pengganti itu turut bersyukur apabila perancangan yang diaturkan sejak beberapa tahun lalu terlaksana dengan baik

“Alhamdulillah, terima kasih kepada kedua ibu bapa, isteri dan sahabat yang tak putus mendoakan saya bukan sahaja dalam industri tetapi dalam perniagaan yang baru sahaja ceburi.

“Semua aset seperti kapal dan villa itu merupakan hasil daripada perancangan yang saya atur dengan baik selama tiga tahun. Sepanjang tempoh itu banyak ilmu baru yang saya belajar dan dalam masa sama saya belajar menyimpan.

“Tetapi kalau untuk tahu lebih banyak tentang perjalanan saya dan usaha yang dilakukan, boleh terus ke channel Telegram saya. Di situ saya kongsikan semua dan macam-macam sama ada berkaitan dunia selebriti dan villa yang saya miliki,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang mendakwa Black memiliki sebuah kapal mewah di Pulau Langkawi sehingga tercetus spekulasi dia terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram.

Bagaimanapun Black sudah memaafkan mana-mana pihak yang mendakwa dirinya memiliki sebuah kapal mewah hasil dari ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Miliki Kapal Mewah Hasil 'Cuci Duit', Black Hanifah Maafkan - "Percayalah Dengan Kebolehan Anak Melayu"

#Black #Black Hanifah #Black kapal mewah #Cuci duit
;