Pelakon Nur Risteena tampil menjelaskan pemergiannya dan suami, aktor Isa Khan ke negeri Sabah adalah atas urusan kerja dan telah mendapat kebenaran merentas untuk tujuan terbabit.

Menerusi laman sosial Instagram (IG), Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 32, menjawab isu tular di media sosial yang mendakwa dia dan suami terbang ke negeri itu untuk tujuan berbulan madu.

“Kami di Sabah ada urusan kerja dan telah dapatkan surat merentas untuk tujuan kerja. Saya yakin pihak polis lebih arif, jadi saya fikir tak perlu post tentang kerja di IG saya hanya untuk puaskan hati semua orang.

“Saya hanya share apa yang saya nak share saja di IG. Harap semua tak membuat spekulasi yang tidak betul,” tulis Risteena menerusi satu hantaran terbaharu sebentar tadi.

Pada Isnin, sebuah media tempatan melaporkan pasangan itu sedang menikmati percutian bulan madu di Semporna Sabah sehingga mengundang rasa kurang senang wargamaya.

Susulan daripada laporan terbabit, Risteena menjelaskan keadaan sebenar bagi meredakan spekulasi yang bertebaran di laman sosial.

Sementara itu meninjau ke ruangan komen, ramai wargamaya yang menasihati pasangan itu agar tidak memuat naik foto-foto romantis dengan tanda pagar honeymoon bagi mengelakkan sebarang salah faham.

Namun, ada juga yang turut mempertahankan tindakan pasangan tersebut yang mengambil masa untuk bercuti sewaktu bekerja.

Apa apa pic tak payah la post melainkan kerja. #honeymoon tu dah buat orang salah faham. Dalam keadaan sekarang ni kita kenalah sensitif. Jangan salahkan netizen kata dengki,” komen seorang wargamaya.

Patut jangan tulis #honeymoon walaupun atas urusan kerja. Faham-faham je la PKP ni,” pesan seorang wargamaya.

Apa salahnya dia post benda bahagia kat IG dia? IG dia, dia punya sukalah. Baguslah post bahagia, tak kan nak post sedih sedih pulak,” tulis seorang wargamaya.

Kadang tu lah, orang tua kata bahagia jangan tunjuk, simpan sendiri sudah. Sebab benda macam ni la yang boleh mengundang pelbagai spekulasi,” kata seorang wargamaya.

Kan ni IG dia biarlah dia nak post apa pun, pelik betul dengan orang sekarang ni ada je nak claim orang ni macam tu, macam ni. Tipu la kalau korang kat tempat dia, korang tak cuci mata,” sokong seorang wargamaya lagi.

Minggu lalu, tular di laman sosial apabila seorang Instafamous dan suaminya didakwa menggunakan surat merentas negeri bagi tujuan berbulan madu lalu mencetuskan kemarahan ramai.

Hasil siasatan pihak polis mendapati pasangan tersebut memberi keterangan palsu berhubung alasan bagi mendapatkan kebenaran merentas negeri.

Sekadar info, Risteena dan Isa bernikah pada 12 Mac lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.