Aktres Nabila Huda menyatakan dia seorang yang suka bergambar dan akan berkongsi foto yang cantik pada pandangan matanya di Instagram (IG).

Oleh sebab itu, Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil, 36, memuat naik pelbagai foto dirinya sama ada secara sopan atau sedikit terdedah seperti berkemban.

Namun, Nabila menegaskan apabila dia mempamerkan fotonya seperti sedang berkemban, ia bukan bertujuan mencetuskan kontroversi.

"Saya kongsi gambar kerana ia cantik dan ada nilai seni. Atas faktor itu, saya kongsi dalam laman media sosial.

"Saya bukan sengaja nak cipta kontroversi untuk memuat naik gambar seperti berkemban misalnya yang pernah dikongsi bulan lalu. Tapi waktu itu saya sedang menjalani penggambaran di Terengganu.

"Secara kebetulan, suami saya Mohd Izwan Johar merakamkan gambar, jadi saya bergaya sakan sambil menyelitkan bunga di tepi telinga.

"Hasil gambar memang menakjubkan dan pencahayaan, latar belakang dan kain batik yang disarungkan memang cantik.

"Jadi saya suka dan saya kongsikan di Instagram. Jadi isu ke gambar berkenaan? Setakat ini, saya tak nampak pula komen negatif, mungkin netizen tahu saya bukanlah jenis yang suka menunjuk tubuh semata-mata untuk meraih perhatian khalayak," katanya kepada Gempak.

Art berat @niesakhalil ?

A post shared by Nabila Huda (@kupu_kupu) on


Meski sedar tak semua pengguna laman sosial memiliki pemikiran sepertinya (melihat gambar dari konteks seni), namun Nabila tidak gemar untuk melayan komen negatif kerana rata-ratanya daripada pelajar sekolah.

"Sebelum ini, jika saya ada menerima mesej peribadi dalam IG, saya akan tanya balik apakah tidak ada kaum keluarga mereka yang melakukan hal sedemikian.

"Bagaimanapun, tidaklah selalu saya membidas komen negatif yang dilemparkan kerana saya tahu kebanyakan yang mengecam adalah budak sekolah.

"Namun jika saya mahukan hiburan berikutan bosan, saya akan cari mana-mana komen negatif yang ditulis dan orang itulah akan menjadi mangsa.

"Jadi, janganlah mudah untuk memperkotak-katikkan orang dengan komen negatif dan sesuka hati," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Nabila kini seronok menjadi salah seorang juri di program terbaharu Astro Warna, The Masked Singer Malaysia.

Nabila bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Ella, Zizan Razak, Remy Ishak, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak diberi penghormatan untuk duduk di kerusi juri tetap.

Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

BACA: The Masked Singer Malaysia: Yana Samsudin Teruja & Seronok Jadi ABC, Tapi Ada Kisah Lain Disebaliknya