HIBURAN
Muaz Zabir Anggap Kemesraan Dengan Anak Bella Astillah Tidak Wajar Dibandingkan Dengan Sesiapa - “Saya Memang Suka Budak Kecil…”
Pelakon Muaz Zabir tampil memberi penjelasan berhubung video mesranya bersama anak kepada penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang tular baru-baru ini.
Video tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk perbandingan antara dirinya dan figura politik, Syed Saddiq.
Menurut Muaz, dia berasa rasa kurang senang apabila dirinya dibandingkan dengan individu lain, apatah lagi dalam situasi yang melibatkan hubungan peribadi seseorang.
Jelas Muaz, kehadirannya ke majlis rumah terbuka Bella adalah atas jemputan dan bukan bertujuan untuk mencipta publisiti murahan atau menunjukkan dirinya rapat dengan keluarga Bella.
“Saya bukan datang untuk menunjukkan yang saya baik dengan keluarga atau rapat dengan anak dia (Bella Astillah), tidak. Saya memang dijemput ke open house Bella, memang tiada niat dan tidak merancang untuk viralkan video itu.”
“Saya faham bab banding-bandingkan. Saya juga tak mahu dibandingkan, lelaki memang tak suka dibandingkan,” ujarnya ketika ditemui Gempak.
Selain itu, Muaz juga menafikan sebarang niat untuk ‘memisahkan’ Bella dan Syed Saddiq, bahkan menyokong apa sahaja yang terbaik buat mereka.
“Saya tiada niat untuk membelah bahagikan BASS (Bella Astillah-Syed Saddiq), saya sendiri sokong kalau itu yang terbaik buat dia, silakan. Saya tiada masalah dengan Bella, Syed Saddiq semua okay sahaja.”
Pelakon berusia 27 tahun itu juga meminta orang ramai agar tidak mengeruhkan keadaan dengan membuat spekulasi yang boleh menyinggung mana-mana pihak.
“Jadi kepada netizen, tolong jangan merumitkan keadaan dengan kata-kata yang akan mengakibatkan salah satu pihak triggered dengan benda yang sepatutnya. Itu sahaja yang saya minta.
“Saya dengan budak-budak memang begitu, dengan anak buah memang rapat, anak Bella pun rapat.
“Saya memang suka budak-budak kecil. Saya rasa tidak patut dibandingkan kerana masing-masing ada cara tersendiri. Kita bukan nak berlawan siapa yang baik.” tambahnya lagi.