Penyanyi Akim Ahmad tidak menyangka haratnya untuk memiliki anak lelaki akhirnya tertunai selepas lima tahun.

Menurut Akim, dia sudah lama menyimpan impian untuk meletakkan nama nabi sebagai pilihan utama sekiranya diberi rezeki untuk memiliki zuriat lelaki.

“Sebenarnya saya memang teringin sangat nak letak nama nabi pada anak lelaki. Ada beberapa nama yang telah disenarai pendek.

“Tetapi kami sepakat untuk memilih nama Isa kerana dekat dengan nama anak kedua iaitu Eishal. Kalau perasan sebutan itu juga hampir sama.

“Malah nama Isa juga kalau digabungkan dengan nama anak sulung kami, Bella akan menjadi Isabella.

“Kami namakan dengan harapan mudah-mudahan hubungan mereka adik-beradik akan sentiasa rapat dan saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui Gempak.

Akim ditemui selepas sidang media konsert Nyawa- Akim & The Majistret dan Azlan & The Typewritter bertempat di The Seven Bistro, Hartamas pada Rabu.

Terdahulu, Akim dan Stacy menyambut kelahiran Isa pada 6 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, Akim akan terlibat dalam konsert yang menggabungkan Akim & The Majistret dan juga Azlan & The Typewriter.

Konsert Nyawa akan diadakan pada 16 September depan bertempat di Zepp Kuala Lumpur dan dibawakan oleh Khatulistiwa Productions.

Tiket sudah pun mula dijual pada harga RM150, RM180, RM230 dan RM280 menerusi laman sesawang http://ticket2u.com.my/nyawa.