Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

"Mudah-Mudahan Dia Berubah" - Mufti Perlis Minta Doakan Sajat, Gesa Hentikan Kecaman

Kamaruddin Razal 03/02/2020 | 12:03 MYT
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, meminta semua pihak agar berhenti mengecam tindakan Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat yang berpakaian seperti wanita, ketika berada di Tanah Suci untuk mengerjakan umrah, baru-baru ini.
Sebaliknya, Mohd Asri meminta agar usahawan kosmetik itu didoakan supaya berubah ke arah yang lebih baik, lapor Astro Awani.
Sungguh pun tidak memahami tindakan Sajat yang mengenakan telekung serta berada di ruang solat untuk wanita, Mohd Asri tetap berharap Sajat kembali ke pangkal jalan.
“Kita kena nasihatkan dia, dalam masa yang sama saya tak setuju orang menyebut dia dilaknat kerana agama tidak melaknat secara personal (peribadi), hanya laknat jenis.
"Maksudnya orang yang minum arak dia (agama) laknat, orang yang lelaki menyerupai perempuan dia laknat tetapi secara individu tu dia tak sebut.
"Jenis sahaja, (secara) individu tu mungkin ada keuzuran dia yang tersendiri, perkara-perkara yang kita tidak tahu ada kejahilan dan seumpamanya. Apa pun kita nasihatkannya.
"Kita beritahu itu sesuatu yang salah dan dia perlu berubah," katanya kepada media, selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Pusat Dialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis perasmian berkenaan.
Menurut MAIPS, bangunan yang bernilai RM6 juta itu menyediakan perkhidmatan rawatan dialysis kedua kepada pesakit buah pinggang selepas pusat rawatan dialysis sedia ada di HTF.
Sumber: Astro Awani
#Nur Sajat #Mufti Perlis
;