Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mufti Kelantan Beri Panduan Konsert Yang Dibenarkan Syarak, Boleh Dihadiri Masyarakat

Izwan Isa
31/08/2023 14:50 MYT
Tidak timbul isu individu dari tahfiz atau bukan tahfiz jika konsert yang dihadiri itu tidak menjurus kepada perbuatan maksiat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, agama Islam tidak double standard dan mereka yang dari tahfiz juga boleh menghadiri konsert dengan syarat konsert itu bukan hiburan maksiat.

Katanya, konsert yang tidak maksiat ialah konsert yang mengingati Allah dan dibenarkan oleh syarak serta boleh dihadiri masyarakat.

“Konsert yang dibenarkan oleh syarak ialah apabila kita hadir itu lagi mendekatkan kita dengan Allah dan makin terasa, kita ini ialah hamba Allah.

“Tapi kalau kita hadir itu, kita lupa pada Allah atau lupa pada diri maka itu tidak diizinkan. Kita sembahyang atau bayar zakat pun untuk ingat Allah. Jadi, konsert pun biarlah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Mohamad Shukri berkata, perlu melihat kepada konsert itu dan jika tempat itu boleh menimbulkan kemaksiatan, memang tidak wajar untuk membawa budak tahfiz bahkan dihadiri oleh mana-mana umat Islam.

Ujar beliau, layanan Islam terhadap semua umatnya adalah sama rata tanpa mengira cara pemakaian seseorang atau mana-mana latar belakang individu itu.

“Tak kira bersongkok atau berserban. Jika yang tidak bersongkok atau tidak berserban boleh pergi ke konsert itu (konsert bukan maksiat), maka yang bersongkok atau berserban juga boleh menghadirinya.

“Kalau yang tidak bersongkok atau tidak berserban, tidak boleh pergi, (ke konsert maksiat) maka yang tahfiz pun tak boleh. Rukun Islam itu tidak double standard,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Penyanyi Tak Ada Adab, Buka Seluar Waktu Buat Persembahan, Penganjur Didenda​

BACA: Pengawal Keselamatan Konsert Taylor Swift Dipecat Sebab Kemaruk Nak Selfie​

#Konsert #Mufti Kelantan
;