Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, 82, yang disahkan positif Covid-19 minggu lalu, meninggal dunia, hari ini.

Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Berita duka tersebut turut disahkan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak turut berkongsi berita pemergian Allahyarham.

Harussani yang menyandang jawatan Mufti Perak sejak 1985 dan isteri Puan Sri Ainon Abdul Ghani disahkan dijangkiti COVID-19 sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Allahyarham kemudiannya menerima rawatan di ICU, HRPB.



Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi sebuah kenyataan lain memaklumkan akan mengadakan majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk Allahyarham secara atas talian pukul 8 malam ini.

Orang ramai juga dijemput beramai-ramai untuk menyertai majlis tersebut.

"​Insya-Allah admin akan adakan bacaan yasin dan tahlil untuk Allahyarham Tan Sri Dato' Seri Mufti Perak pada jam 8.00 malam ini 30 Mei 2021.

"Muslimin muslimat dijemput bersama-sama," katanya.