BERITA

Muhammad Kekal Nama Paling Popular Di England Dan Wales

Gempak 02/08/2025 | 21:55 MYT

Nama Muhammad kekal sebagai pilihan utama ibu bapa di England dan Wales apabila merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi untuk tahun kedua berturut-turut bagi bayi lelaki, menurut Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) bagi tahun 2024.

Statistik menunjukkan seramai 5,721 bayi lelaki dinamakan Muhammad dengan ejaan spesifik itu, mengatasi nama-nama popular lain seperti Noah (4,139), Oliver, Arthur dan Leo yang melengkapkan senarai lima teratas.

Nama Muhammad mula mengatasi Noah pada tahun 2023, namun jika digabungkan pelbagai variasi ejaannya seperti Mohammed atau Mohamad, nama ini telah mendominasi kedudukan teratas dalam dekad lalu.

Bagi bayi perempuan, Olivia terus mengekalkan kedudukan nombor satu, diikuti oleh Amelia, Lily, Isla dan Ivy.

Pakar nama, SJ Strum berkata, trend pemilihan nama bayi sentiasa berubah mengikut zaman.

“Nama-nama klasik seperti Roger, Steve, Colin, Derek dan Keith kini hampir lenyap dari senarai 100 nama popular,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar nama yang pernah popular dalam kalangan generasi 1980-an dan 1990-an kini dilihat sebagai ‘nama ayah’, manakala ibu bapa generasi baharu lebih cenderung memilih nama yang kreatif dan unik.

Nama Muhammad mula tersenarai dalam kelompok 100 nama paling popular pada tahun 1980, dan semakin popular sejajar dengan pertambahan komuniti Muslim di United Kingdom. Populariti itu turut dikaitkan dengan pengaruh figura sukan terkenal seperti Sir Mo Farah dan Mohamed Salah.

Sementara itu, nama tradisional seperti Arthur dan Archie semakin mendapat tempat, manakala George dan Theodore kekal dalam kalangan 10 teratas.

Sebaliknya, nama-nama seperti Gary dan Steve mencatat penurunan ketara dalam beberapa dekad kebelakangan ini, menunjukkan peralihan minat ibu bapa kepada nama lebih moden atau berelemen kontemporari.

Menurut ONS, perubahan demografi dan budaya turut memainkan peranan penting dalam pola penamaan ini.

Sumber: Sinar Harian

#England #Muhammad #Nama Paling Popular