Pereka fesyen Azhar Zainal Design menyahut cabaran untuk melakukan sesi penggambaran di atas bas bergerak, KL Hop On Hop Off (HoHo).

Lebih mencabar apabila sesi fotografi itu membabitkan sekumpulan model 'plus size' yang dilakukan ketika tengah hari.

"Syukur semuanya dipermudahkan dan tak ada sebarang kejadian tak diingini berlaku sepanjang penggambaran beberapa jam.

"Kita pun sedia maklum sekarang musim panas, mujur tak ada yang pengsan.

"Mencabarnya sesi penggambaran kali ini kerana dilakukan ketika bas sedang bergerak, jadi agak susah untuk model menyeimbangkan badan," katanya kepada Gempak.

Sepanjang sesi fotografi khas itu sebanyak tujuh busana diperagakan yang terdiri daripada busana muslimah, perkahwinan dan dres makan malam.

Azhar turut berpuas hati apabila busananya yang diinspirasi daripada Timur Tengah itu mendapat pujian pelancong asing yang turut serta menaiki bas berkenaan.

Fashion Fun Ride itu merupakan usahasama Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera, HoHo dan restoran TheLove@Matic.

Dalam perkembangan lain, Azhar yang sudah berkecimpung dalam rekaan fesyen selama lebih 10 tahun bakal melancarkan koleksi songket untuk busana perkahwinan pengantin plus size.

Jenama Azhar Zainal Design dikemudi oleh pasangan suami isteri Azhar Zainal Afifin dan Farahin Zakaria.