Pengacara Ain Edruce merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan jejaka pujaan hatinya pada bulan Jun dan bakal berkahwin berkemungkinan hujung tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Ain, 28, selepas selamat melangsungkan majlis merisik pada Jumaat lalu.

"Orang ingat saya bertunang tetapi itu majlis merisik, hal pertunangan kalau mengikut perancangan mungkin selepas raya sekitar akhir bulan Jun.

"Manakala, kami mungkin akan melangsungkan perkahwinan pada tahun depan atau akhir tahun ini. Semuanya masih dalam perancangan," katanya kepada Gempak.

Mendedahkan lebih lanjut peribadi jejaka yang dikenali seabgai Amirul Hafiz, perkenalan antara mereka berdua bermula sejak setahun lalu.

"Dia dua tahun lebih muda daripada saya, mungkin perangai saya yang 'hyper' membuatkan saya senang berkawan dengan orang muda.

"Hampir setahun kenal dan saya sifatkan dia seorang yang 'real'. Bukan tipikal lelaki yang romantik dan dia sangat pendiam apabila berhadapan orang ramai.

"Jadi, hubungan kami seimbang!

"Kalau orang kata teman lelaki saya tak kacak, itu pendapat masing-masing. Saya tak percaya pada lelaki yang hanya bersandar pada rupa.

"Malah, saya seorang yang suka mengenali hati budi terlebih dahulu sebelum melihat perkara lain misalnya fizikal. Saya cari individu bertanggungjawab, bukannya kacak semata-mata. Muka handsome tak bawa ke mana pun," tambahnya.

Majlis merisik serba ringkas Ain dan Amirul pada minggu lalu mendapat pujian ramai dan doa peminat.

Tahniah kami ucapkan!