“Muka Seperti Cacat, Dicat Dengan Lebih 20 Gigi Busuk Menutupi Seluruh Wajah!” - Mavis Takut Lihat Diri Sendiri Berlakon Filem Seram Gala
Teraju utama filem seram dari Taiwan berjudul Gala iaitu Mavis akui takut melihat dirinya sendiri ketika memainkan watak sebagai penstriman langsung yang mengalami kerasukan syaitan.
Menurut Mavis, perkara itu berlaku kerana transformasi solekan kesan khas yang dilakukan sangat realistik.
"Dalam adegan itu, wajah saya benar-benar kelihatan seperti cacat, dicat dengan lebih dari 20 gigi busuk yang menutupi seluruh wajah saya.
“Gigi tersebut digunakan bagi mendapatkan hasil trypophobia yang menakutkan untuk penonton.
“Selain berasa seram selepas menonton filem ini, antara bahagian lain yang turut memberi kesan kepada saya adalah ketika penggambaran berlangsung.
“Sepanjang persiapan untuk filem ini saya merakamkan audio suara di studio tertutup dan perasaannya sukar untuk digambarkan,” katanya.
Seperti benar-benar dirasuk
Dalam pada itu, pengarah filem Gala iaitu Zeng Da-Heng mendedahkan Mavis mengambil masa selama empat jam untuk solekan kesan khas bagi menjayakan wataknya.
Malah Da-Heng juga berkongsi bahawa salah satu elemen seram yang menonjol dalam filem ini adalah penggambaran ketika menjaya watak dirasuk oleh Mavis yang dilihat sangat menjiwai watak tersebut.
“Watak dirasuk yang dilakonkan oleh Mavis ini kelihatan sangat sempurna dan dia seolah-olah seperti Ratu Kerasukan!” ujarnya.
Gala menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada Mavis, Chu Xu, Li En-You dan Hsu Hao-Hsiang.
Gala terhasil berdasarkan skrip oleh novelis terkenal Jiang, Tai-Yu, diarahkan oleh Zeng Da-Heng (The Thrifty Family) dan diterbitkan oleh Steven Liu dan Ciou, Mao-Ting yang sebelum ini pernah menghasilkan sebuah karya berjudul Minxiong Haunted House.
Untuk info, Gala menonjolkan rasa seram melalui imej dan bunyi geseran gigi.
Ia menampilkan visual yang menakutkan seperti mulut dan wajah terkoyak selepas dirasuk, ditutupi gigi dan disertai dengan bunyi pengisaran gigi yang menakutkan serta berterusan.
Filem ini mengandungi elemen yang menyeramkan seperti pemujaan, kerasukan, ritual yang digabungkan dengan trend masa kini iaitu penstriman langsung (live-streaming) dan pengembaraan.
Bagi yang ingin merasai pengalaman seram yang berbeza, saksikan Gala yang kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.