Penyanyi dan juga bekas anggota kumpulan K-Pop terkenal WANNA ONE, Kim Jae Hwan akui kekok melakukan aktiviti secara solo.

Menurut Jae Hwan, keadaan itu berlaku kerana terbiasa melakukan aktiviti atau promosi bersama anggota WANNA ONE yang lain.

“Pada mulanya memang berasa agak kekok ketika melakukan sesi latihan secara solo untuk pertama kali.

“Tidak dinafikan agak sukar buat saya namun apabila terfikir tentang sokongan yang diberikan oleh peminat, perkara itu membuatkan saya berusaha lebih kuat.

“Selepas muncul di pentas beberapa kali saya sudah mula biasakan diri, seronok dan lebih yakin ketika melakukan persembahan.

“Saya berjanji akan menunjukkan usaha dan sisi lain saya sebagai seorang artis solo,” katanya.

Jae Hwan berkata demikian ketika sesi temu bual eksklusif bersama Gempak baru-baru ini.


Berbicara mengenai nyanyian, Jae Hwan kini tampil dengan lagu terbaru berjudul ‘Begin Again”.

Jae Hwan juga menyatakan rasa bersyukur dan terharu kerana lagu tersebut mendapat tempat di hati peminat.

“Begin Again merupakan lagu ciptaan bersama komposer Im Chang Jung, MetDueGee dan juga saya dan rasa sangat berbesar hati dapat berkerja bersama mereka.

“Sebenarnya saya juga telah membuat lagu untuk jangka masa yang panjang jadi saya berusaha keras kali ini untuk mencipta lagu-lagu yang sedikit berbeza.

“Saya sangat berpuas hati… Sejujurnya saya berasa sangat gembira kerana peminat menerima dan menyukai lagu saya,” ujarnya.


Dalam perkembangan lain, Kim Jae Hwan bakal hadir ke Malaysia sebagai artis solo sempena siri jelajah ‘2019 Kim Jae Hwan Fan Meeting [MIN:D] in Kuala Lumpur.

‘2019 KIM JAE HWAN FAN MEETING [MIN:D] IN KUALA LUMPUR bakal menemui peminat pada 27 Julai 2019 bertempat Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam tepat jam 6 petang.

BACA: Ubati Rindu Peminat WANNA ONE, Kim Jae Hwan Datang Malaysia

Tiket konsert dijual dengan harga RM282 (Zon Ungu), RM382 (Zon Kuning), RM482 (Zon Merah), RM582 (Zon A) dan RM692 (Zon VIP).

Pembelian secara online boleh dilakukan bermula 12 Jun 2019 (Rabu) bermula jam 12:00 tengah hari di www.macpieticketing.com

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web atau media sosial rasmi UnUsUaL Entertainment dan MacpiePro.

Terdahulu, WANNA ONE yang dianggotai oleh 11 anak muda berbakat iaitu Kang Daniel, Park Ji Hoon, Lee Dae Hwi, Kim Jae Hwan, Ong Seong Wu, Park Woo Jin, Lai Kuan Lin, Yoon Ji Sung, Hwang Min Hyun, Bae Jin Young dan Ha Sung Woon dibubarkan pada 27 Januari 2019.