Mencari keserasian yang padu untuk menjayakan lagu duet sememangnya bukan tugas mudah.

Keserasian itulah sebenarnya menjadi intipati penting untuk menentukan nasib sesebuah lagu sama ada berhasil atau gagal.

Bagaimanapun, kerjasama sulung Naqiu dan Vanessa Raynauld menerusi Rindu Separuh Nyawa, menjadi.

Naqiu, 35, dan Vanessa, 21, mungkin dua penyanyi daripada generasi berbeza. Namun, yang menyamakan mereka tentu sekali keduanya adalah kaliber dan pengalaman.

Naqiu sendiri pernah menjadi juara program Gegar Vaganza musim keenam pada 2019, manakala Vanessa naib juara The Masked Singer Malaysia musim pertama, tahun lalu.

Menurut Naqiu, dia akui Vanessa adalah rakan duet yang tepat untuk lagu yang juga runut bunyi untuk drama Rindu Awak Separuh Nyawa ini.

“Sebagai komposer saya cuba tampilkan melodi yang boleh diterima masyarakat dan kena dengan emosi lagu Rindu Separuh Nyawa itu sendiri.

Pada mulanya, saya dengan Vanessa agak kekok. Selepas beberapa jam, barulah kami dapat keserasian. Vanessa memiliki ilmu yang baik, jadi tidak susah untuk mendapatkan keserasian serta emosi lagu itu.

“Bahagian paling susah adalah bagaimana untuk menggabungkan suara kami disebabkan nyanyian kami memiliki karakter yang sangat berbeza memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama.

"Bagaimanapun, dengan bantuan jurulatih vokal, Afif Tirmizie, dia berjaya mencantikkan lagi gabungan suara kami selain memantapkan Rindu Separuh Nyawa secara keseluruhan," kata Naqiu.

Vanessa pula akui dia paling tertarik dengan melodinya yang sangat mesra telinga. Selain itu, dia juga sangat teruja kerana ingin merasa sendiri pengalaman berduet.

“Gabungan saya dengan Naqiu agak mengejutkan sebenarnya bagus. Pertama kali saya mendengar suara Naqiu, ia agak besar dan serak-serak basah manakala suara saya pula bernada tinggi dan lembut. Awalnya, saya takut suara kami tidak bersatu dengan baik.

"Namun selepas habis rakaman semua, rupanya gabungan suara kami menjadi.

“Semestinya saya sangat berterima kasih kepada Sony Music Malaysia dan Naqiu kerana memberi peluang untuk merealisasikan lagu duet pertama saya. Saya harap lagu ini dapat sambutan yang terbaik, diterima dengan hati terbuka, dan pendengar menyukai gabungan saya bersama Naqiu,” katanya.

Drama Rindu Awak Separuh Nyawa arahan Along Kamaludin itu dijadualkan mula ditayangkan dalam masa terdekat menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria. Drama terbitan SR One Sdn Bhd itu dibintangi pelakon hebat termasuk Shukri Yahaya, Uqasha Senrose, Marsha Milan Londoh, Fizo Omar, Noreen, Ikhlas Jalil, Aleza Shadan, Noorkhiriah, Fiza Thomas, dan Fareez Ridzwan.

Rindu Separuh Nyawa boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.