Pelakon Zoey Rahman mengakui dia tidak mengetahui langsung berhubung urusan kelulusan kewangan syarikat bagi pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire yang dihadiahkan kepadanya sempena ulang tahun kelahirannya.

Menurut Zoey atau nama sebenarnya, Mohd. Hairey Azhar Abdul Rahman, 36, kelulusan tersebut dibuat adiknya yang juga ahli lembaga pengarah Mika Series tanpa pengetahuannya.

"Mula-mula saya marah dia juga sebab keluarkan wang syarikat. Saya tanya kenapa luluskan duit yang banyak sebegitu sedangkan kami nak pakai duit banyak untuk promosi produk tahun ini termasuklah menaikkan papan iklan.

"Bagaimanapun, dia jelaskan bahawa kereta itu untuk syarikat juga. Lagipun, katanya sampai bila nak sewa van apabila ingin bergerak untuk ke tapak acara. Kiranya kereta itu untuk kemudahan pekerja juga," katanya kepada Gempak.

Zoey berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran produk makanan ringan keluaran Palut's di Puncak Alam, Selangor hari ini.



Terdahulu, Zoey dilaporkan menerima sebuah kenderaan mewah daripada pekerjanya sendiri sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya.

Situasi itu kemudian menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen sehingga mendakwa ia hanyalah untuk tujuan pemasaran.

Bahkan, ada juga yang mendakwa seolah-olah Zoey syok sendiri apabila menggunakan wang syarikat untuk dijadikan sebagai hadiah kepada dirinya.

Begitupun, kata Zoey, dia tidak mahu mengambil pusing komen-komen negatif yang cuba dilontarkan netizen.

"Dalam satu syarikat ada beberapa ahli lembaga pengarah yang boleh meluluskan dengan menurunkan tanda tangan.

"Bukan saya seorang, ada adik saya sekali (dalam syarikat). Adik saya bersepakat dengan staf lain, jadi itulah hasilnya (pembelian kereta)," jelasnya.

Dalam pada itu, kata Zoey dia kini mula menceburkan diri dalam perniagaan makanan buat pertama kali dengan berkolaborasi bersama syarikat bumiputera, Paluts Food Sdn. Bhd. menghasilkan produk berasaskan pisang.

"Saya tak pernah keluarkan produk makanan sebelum ini, inilah cubaan pertama kali. Produk berasaskan pisang ini tak digoreng, sebaliknya menggunakan teknik vakum," katanya yang dilamar pengasas produk tersebut, Ridzuan Ansar pada tahun lalu beserta dua lagi selebriti lain iaitu Saharul Ridzuan dan Achey.