Laman Utama
"Mula-Mula Cemas..." - Kekalkan Bunyi Rebana, Kulintangan... Lain Macam Muzik Darmas Ni!
Dalam dunia serba moden dan kebanyakan penggiat seni tanah air menghala ke arah muzik antarabangsa, Darmas hadir memberi kelainan dengan dua lagu baru bertajuk ‘Nelayan Moden’ kolaborasi bersama John Bear dan ‘Pemegang Dunia’ bersama penyanyi kumpulan Nastia, Leo Azman.
Darmas membawa gelombang pembaharuan kepada elemen tradisional melalui adaptasi dan aplikasi ke dalam muzik arus perdana. Menerusi dua buah lagu ini, mereka bukan sahaja mengekalkan instrumen seperti Rebana dan Kulintangan, malahan Darmas berjaya membawa intipati muzik Melayu yang menembus budaya pop semasa.
Nelayan Moden
Dengan mesej yang padat dan gaya penulisan lirik yang unik menjadikan Nelayan Moden mempunyai rohnya yang tersendiri. John Bear yang juga merupakan penyanyi kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang berasa amat berbesar hati apabila mendapat pelawaan untuk menyanyikan lagu ini.
“Pada mulanya saya amat cemas dan gementar nak nyanyikan lagu ini. Saya sedar dengan kemampuan sendiri tetapi disebabkan kepercayaan dan tunjuk ajar, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” kata John Bear.
Proses rakaman tanpa ada tekanan amat membantu membina keserasian bersama. Kata John, dia berasa selesa dengan suasana kekeluargaan Darmas.
“Saya harap lagu berirama desa dan nusantara seperti ini kembali diterima ramai terutamanya oleh golongan anak muda yang mungkin sebelum ini kurang ada pilihan. Biarlah lagu ini memilih jalan takdirnya sendiri, cewah!” tambahnya berseloroh.
Muzik terkini & tradisional
Pendekatan unik muzik Darmas didalam lagu Pemegang Dunia menggabungkan gaya muzik masa kini dan pengaruh muzik tradisional menyajikan sesuatu yang segar.
“Proses rakaman berlangsung dengan sangat mudah. Antara lagu yang paling sekejap saya rakamkan. Saya sudah mengenali kumpulan Darmas ni dari zaman kolej jadi keserasian itu sudah ada.” kata Leo Azman.
Tambahnya lagi, “Genre untuk Pemegang Dunia ini tidak jauh dari apa yang saya bawa bersama Nastia, mungkin sebab itu juga Darmas memilih saya untuk berkolaborasi. Saya harap Darmas akan terus hasilkan karya-karya nusantara seperti ini. Genre mereka ini sangat kurang di Malaysia.”
“Bagi Darmas pula, kami mahu membuatkan pendengar berfikir selain dapat menyentuh perasan mereka dan menyampaikan mesej yang baik. Semoga muzik kita terus berevolusi.” kata Purnama Maqasuci yang juga merupakan penerbit bersama kumpulan Darmas.
Nelayan Moden dan Pemegang Dunia sudah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBox dan YouTube Music.
Must-Watch Video