Sepotong video tular di media sosial apabila mendakwa pelakon popular Bollywood, Aamir Khan menyembunyikan sejumlah wang dalam tepung gandum untuk disedekahkan kepada fakir miskin di India.

Difahamkan, Aamir telah menghantar sebuah trak yang dipenuhi dengan gandum yang dipaketkan setiap 1 kilogram untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan di Delhi ekoran krisis Covid-19.

Namun, ramai yang enggan menerima sumbangan 1 kilogram tepung gandum itu kerana dirasakan kuantiti itu tidak mencukupi untuk menyara keluarga mereka.

Beruntung bagi mereka yang menerima paket gandum itu kerana tersembunyi wang tunai bernilai 15,000 Indian Rupee (RM858) dalam setiap paket.



Pemilik video TikTok berkenaan berterima kasih kepada Aamir selain menyebut pelakon itu mahu wang yang disumbangkan itu diterima oleh mereka yang terdesak untuk mendapatkan keperluan makanan walaupun hanya 1 kilogram gandum.

Biarpun tiada kenyataan rasmi daripada pelakon filem Mann itu, video yang sedang tular itu mendapat pujian ramai.

Sumber: IB Times