Pelakon Sienna Miller mendedahkan mendiang Chadwick Boseman pernah memotong sebahagian daripada gaji sendiri untuk diberikan kepadanya.

Jelas Sienna, 38, Chadwick telah memujuknya untuk membintangi filem terbitannya, 21 Bridges namun telah menolak berkali-kali dengan pelbagai alasan.

"Beliau (Chadwick) mahu menerbitkan filem 21 Bridges dan inginkan saya untuk berlakon. Katanya, dia minat dengan hasil kerja saya.

"Jadi, dia menghubungi saya dan memujuk untuk berlakon dalam filem itu. Bagaimanapun, saya sudah terlalu penat kerana bekerja tanpa henti dan mahu berehat seketika," dedahnya menerusi temubual bersama majalah Empire.

Justeru, Sienna meletakkan harga yang tinggi dengan harapan syarikat penerbitan terbabit enggan mengambilnya berlakon.

"Filem ini menelan belanja yang tinggi dan ramai yang akur akan ketidakseimbangan bayaran dalam dunia perfileman Hollywood.

"Jadi, saya meminta jumlah bayaran yang tidak masuk akal, dengan harapan tidak akan diambil berlakon.

"Saya pun teragak-agak untuk meneruskan berlakon kerana anak perempuan saya pun bakal memulakan sesi persekolahannya dan ia menjadi tempoh yang sibuk bagi saya.

"Jadi, saya jawab saya akan berlakon sekiranya boleh membayar saya dengan nilai tertentu!

"Akhirnya, Chadwick mendermakan sebahagian daripada gajinya kepada saya berdasarkan nilai yang saya mahukan. Katanya, saya berhak mendapat bayaran sedemikian," katanya yang menyifatkan Chadwick seorang lelaki budiman.



Sienna antara individu yang sentiasa mengingati pemergian Chadwick sejak Ogos lalu.

Chadwick, 43, telah menghembuskan nafas terakhir pada 28 Ogos selepas menderita kanser kolon sejak empat tahun lalu.

Filem 21 Bridges merupakan filem aksi thriller lakonan Chadwick dan Sienna yang ditayangkan pada November tahun lalu.

Sumber: US Magazine