Penyanyi Hazama tampil dengan single terbaru, Peneman hasil ciptaan sepenuhnya oleh Tam Spider.

Lagu berentak balada rock ini merupakan single pertama Hazama sejak bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music.

Susunan muzik yang mantap melatari melodi indah Peneman yang dilengkapi vokal serak-serak basah Hazama dalam melantunkan penuh penghayatan bait-bait lirik yang sarat dengan janji setia.

Suami kepada pemuzik terkenal Genervie Kam ini turut mengambil inspirasi dari pengalaman cintanya sendiri dalam penyampaiannya bagi menterjemahkan rasa cinta seorang lelaki untuk suri hati dan juga peneman hidupnya.

Luar biasa, itulah rata-rata ulasan peminat buat Hazama dan lagu taruhan terbaharunya ini.

Sejak single ini menjadi lagu runut bunyi bagi drama bersiri Asalkan Dia Bahagia, peminat mula memberikan reaksi yang sangat memberangsangkan di laman sosial.

Sambutan untuk lagu "Peneman” juga tidak kurang hebatnya apabila video audio rasmi lagu tersebut berjaya mencapai tontonan hampir mencecah 1.2 juta sejak dimuat naik pada 8 Mac lalu.

Bagi memenuhi permintaan peminat yang menanti-nantikan single terbaru Hazama, Peneman sudah dilancarkan di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 12 April lalu.