Sejak kebelakangan ini, isu penerbit dan stesen televisyen yang hanya mengambil pelakon dengan jumlah pengikut Instagram lebih daripada satu juta hangat dibualkan di media sosial.

Selain netizen, ada juga antara pelakon tempatan yang turut sama memberikan pendapat masing-masing mengenai isu berkenaan.

Bagi pelakon berbakat besar, Faizal Hussein, isu yang digembar-gemburkan oleh ramai pelakon itu dianggap sebagai satu alasan semata-mata.

A post shared by faizalhusseinofficial (@faizalhusseinofficial)


“Instagram saya pernah kena hacked dan ketika itu saya ada sekitar 340,000 pengikut. Kemudian, saya bermula semula dan jumlah followers saya kini di angka 90,000. Tapi kenapa masih ada lagi yang menawarkan saya berlakon?

“Sebelum benda ni dikecohkan, mungkin artis itu sendiri sudah lama tidak menerima tawaran berlakon. Sehingga ke hari ini, orang jadikan hal tersebut untuk menghentam stesen dan juga produser,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Faizal menambah, dia berani berkata demikian kerana dia tidak pernah putus tawaran berlakon sungguhpun tidak memiliki jumlah followers seperti yang dicanang-canang oleh orang ramai di media sosial.

“Saya cakap begini sebab saya tak rasakan perkara itu. Astro tetap panggil saya untuk memegang watak utama dan juga watak pembantu utama. Saya tak pernah rasa followers saya yang tak sampai 1 juta orang tak nak panggil berlakon

“Terbaharu, saya bakal memasuki penggambaran filem berjudul Imam Januari tahun depan. Jadi, di mana letaknya kebenaran dakwaan tersebut? Saya sendiri pernah ditawarkan membintangi sebuah drama bersiri terbitan produksi antarabangsa berjudul Strike yang pernah disiarkan di Cinemax. Jadi saya rasa ia satu perkara yang tidak betul,” katanya lagi.

A post shared by faizalhusseinofficial (@faizalhusseinofficial)


Tambah Faizal, setiap artis perlu tahu bermuhasabah diri sebelum memperkatakan tentang sesuatu isu.

“Kadang-kadang mereka bercakap di media sosial tanpa melihat cermin. Dulu isu muka tak handsome tak boleh jadi hero. Mana datang benda tu? Negara mana pun, stesen televisyen apa pun, mereka mestilah kalau boleh nak hero handsome.

“Bukan nak kata pelakon-pelakon ini tidak diperlukan dalam industri. Tetapi, sebagai stesen televisyen, mereka tahu. Mereka ada pekerja hebat-hebat keluar universiti untuk buat kerja ni. Kita tak payahlah pertikaikan perlu followers 1 juta atau wajah handsome atau tidak,” tutupnya.