Juri tetap Big Stage 2020, Ajai tampil ke pentas untuk memohon maaf kepada Hafiz Zainal dalam konsert minggu kedua malam tadi.

Permohonan maaf itu dibuat ekoran isu markah rendah yang diberikan kepada Hafiz minggu lalu dan pada masa yang sama, Ajai khuatir jika teguran yang diberikan mengguris hati doktor gigi viral tersebut.

Menurut Ajai, dia memohon maaf secara ikhlas dengan kehendaknya sendiri.

"Pada saya, industri kita sangat kecil, perkara sebegini boleh dikatakan seperti fesyen, saya akur dengan fesyen, permohonan maaf itu memang ikhlas dari saya.

"Mungkin cara penyampaian saya agak kasar sedikit, saya telah dilatih oleh orang seperti Datuk Ramli MS, Fauzi Marzuki dan Tony Fernandes dimana saya dah kena lebih teruk.

"Tetapi dari situ, Alhamdulillah, saya berada di sini sekarang, saya rasa apa yang saya lakukan itu tidaklah melampau," katanya.

Ajai berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert minggu kedua Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Dalam pada itu, Ajai turut menjelaskan tergurannya terhadap Hafiz minggu lalu sebenarnya bercampur unsur jenaka.

"Sebenarnya, saya selitkan unsur jenaka, saya cakap lebih baik dia pengsan itu hanyalah gurauan kerana suasana ketika itu agak tegang.

"Mungkin saya ini bukan dari program Raja Lawak, jadi gurauan saya sukar difahami kerana raut wajah saya," katanya lagi.


Minggu lalu, Ajai hanya memberi dua markah terhadap Hafiz kerana menyifatkan nyanyian peserta itu sebagai 'out of tune'.
Undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Bigstage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.