HIBURAN
"Mungkin Jadi Sasaran Sebab Namanya Besar…”- Ernie Zakri Kesal Aina Abdul Jadi Mangsa Siber Buli, Sentiasa Doakan Yang Terbaik
Penyanyi, Ernie Zakri meluahkan rasa kesal apabila rakan seperjuangan, Aina Abdul terpaksa berhadapan dengan siber buli selepas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39).
Mangsa buli siber
Pernah berhadapan dengan situasi sama, Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, berkata perkara itu memberikan kesan buat kesihatan mental.
“Situasi ini kerap berlaku kepada penyanyi wanita? Itu saya kurang pasti. Namun, saya juga sama seperti Aina Abdul yang selalu menjadi mangsa buli siber hampir setiap hari.
“Saya tidak berada di tempat Aina tapi saya faham apa yang beliau rasakan lebih-lebih lagi selepas apa yang berlaku di AJL39, baru-baru ini. Impaknya sangat luar biasa kepada kesihatan mental kita.
“Mungkin Aina menjadi sasaran kerana beliau mempunyai reputasi yang sangat besar dan sedang terbang tinggi ketika ini. Jadi, mungkin namanya lebih ke depan,” ujarnya.
Ernie berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media mengumumkan konsert Universal Music Malaysia yang berlangsung di Le Meridien, Petaling Jaya pada Selasa.
Jauhkan diri dari media sosial
Mengulas lanjut mengenai komen negatif, Ernie berkata dia akan memilih untuk menjauhkan diri daripada platform media sosial buat sementara waktu lebih-lebih lagi selepas membuat persembahan besar.
“Saya biarkan keadaan surut dahulu. Kalau kita baca, memang sangat sakit. Namun, saya tahu Aina kuat dan ini bukan pertama kali beliau berhadapan situasi seperti ini.
“Saya ada terbaca apa yang Aina lalui. Saya pun tak faham kenapa kita perlu buat keadaan itu jadi sebegitu,” jelasnya.
Tak mampu kawal manusia
Ditanya adakah dia kesal apabila rata-rata artis wanita perlu berhadapan situasi seperti ini, Ernie berkata dia tidak mampu untuk mengawal setiap tindak tanduk manusia.
“Rasa kesal, marah itu sudah tentu ada. Kita manusia biasa. Bila kita baca sesuatu isu, kita pun jadi tak faham. Bila tiada isu tapi tetap diwujudkan juga.
“Kita tak boleh kawal orang lain. Saya hanya kawal apa yang mampu saya buat. Contohnya, saya akan nasihat supaya jangan gaduh di platform X.
“Namun, kalau mereka tetap nak bergaduh, ia akan berlaku juga. Saya pun tak pasti macam mana nak lalui situasi ini. Ada kalanya, bagus juga ada kes saman-menyaman ini,” ujarnya.
Berpada-pada beri komen
Dalam pada itu, Ernie turut mengingatkan peminat untuk berpada-pada ketika memberikan komen di media sosial.
“Kalau kita sayang seseorang artis, mereka perlu menjaga nama baik artis tersebut. Saya tak kata peminat saya sempurna. Mereka ada juga buat silap.
“Tapi menjadi tugas saya untuk memaklumkan kepada mereka supaya tidak menunding jari. Saya akan cuba neutralkan keadaan. Saya tak kata mereka akan ikut cakap saya tapi saya cuba yang termampu.
“Aina selalu kata bahawa peminatnya seperti tentera. Mereka selalu lindungi Aina. Cuma ada kalanya terlalu berat untuk kami baca perbalahan di media sosial.
“Perang antara peminat ini sudah lama berlanjutan. Saya harap Aina akan okay. Saya sentiasa mendoakan kejayaannya,” katanya lagi.
Terdahulu, Aina menjadi sasaran kecaman hebat termasuk buli siber dan ‘face shaming’ selepas persembahan di AJL39.
Segelintir netizen seolah-olah tidak menghargai bakatnya malah ada yang bersorak gembira ketika dia gagal membawa pulang hadiah utama pada pertandingan malam tersebut.