Susulan mengalami kecederaan di bahagian mata kiri dan tulang pipi, akhirnya pelakon Fasha Sandha dibenarkan pulang selepas lapan hari menjalani rawatan di sebuah hospital.

Fasha memaklumkan perkara itu menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya.

Menurut Fasha, dia berasa amat bersyukur kerana Tuhan melindungi mata kanannya daripada mengalami sebarang kecederaan.

Malah Fasha juga menzahirkan rasa terima kasih buat ibu kesayangannya, Hatijah Tehman kerana mendoakankan kesembuhannya.

“Assalamualaikum. Kali ini menaip menggunakan sebelah mata. Mujur mata kanan masih sihat sempurna.

“Pertama kali, syukur Alhamdulillah, terima kasih buat Mama. Mungkin kerana kebaikan dan doa-doa mama, Allah melindungi mata kanan saya.

“Juga saya pasti doa daripada suami, anak-anak saya, keluarga, peminat, sahabat, jiran-jiran dan kucing-kucing peliharaan saya. Saya terus kuat,” tulisnya,

A post shared by Fasha Sandha (@fashasandha)


Fasha juga memaklumkan insiden itu tidak membuatkannya berasa tertekan sebaliknya lebih memahami erti rasa syukur dengan lebih mendalam.

“Saya tidak pernah rasa tertekan. Tidak mahu menyalahkan sesiapa. Saya anggap Allah ingin saya berehat seketika. Ya, lapan hari yang begitu panjang buat saya.

“Pertama kali admitted di hospital kerana cedera. Pertama kali menggunakan personal medical card dan personal insurans yang saya ambil sejak tahun 2004.

“Saya tak pernah bermalam di hospital kecuali ketika bersalin. (Itu pun hanya satu malam). Iya, benda nak jadi’. Apa kita boleh buat..

“Kita cuba sehabis baik, kita buat yang terbaik.. tapi kemalangan tetap terjadi,” coretnya.

Bagaimanapun Fasha mengakui dihantui rasa bersalah kerana memikirkan kerja yang tertangguh disebabkan kecederaannya.

“Malah pada hari kejadian, saya hanya fikir ingin habiskan tugas. Tapi Fieza, Encik Along Kamaludin dan doktor tidak mengizinkan. Dikala kesakitan, baru kita sedar siapa yang betul-betul sayangkan kita.

“Kepada yang bertanya, keadaan saya ketika ini fizikal luar mata dan bengkak telah beransur pulih. Tulang mata kiri saya patah, ada tisu, muscle dan darah beku.

“Walau begitu, saya tetap bersyukur mata kanan masih sihat sempurna dan banyak lagi nikmat kebaikan yang diberikan pada saya daripada ujian ini.. Saya dah boleh discharge. Alhamdulillah,” jelasnya.

Terdahulu, insiden menimpa Fasha itu berlaku ketika sedang melakonkan babak bergelut bersama pelakon, Azhan Rani.

Fasha mengalami kecederaan serius selepas mata dan kepalanya terhentak di bucu katil.

Akibat hentakan itu, tulang mata bahagian kiri dramatis itu patah dan bebola mata kirinya berdarah serta bengkak sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar di Johor Bahru.