Wakil kelab peminat kumpulan Kpop popular BTS, Mastura Jamil memohon maaf kepada mana-mana pihak yang kurang senang dengan aksinya ketika menerima trofi kemenangan di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 32, baru-baru ini.

Mastura turut mengakui kesilapannya yang tidak melakukan sebarang persiapan untuk mewakili kumpulan tersebut.

“Saya sedar ramai yang kecam di media sosial, jadi saya nak memohon maaf kepada mana-mana pihak yang berasa kurang senang dengan apa yang saya lakukan.

“Saya hanya datang sebagai penyokong sehinggalah BTS diumumkan sebagai pemenang dan wakil Berita Harian minta saya naik ke pentas untuk menerima trofi.

“Memang saya tak buat apa-apa persiapan, baik ucapan mahupun pakaian. Mungkin kerana terlalu teruja sampai nampak over pula.

“Iyalah…siapa tidak excited apabila penyanyi kesayangan menang anugerah,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Mastura memberitahu sudah berbincang dengan beberapa pengendali Army Malaysia untuk menghantar trofi ABPBH 32 ke Korea Selatan.

Trofi tersebut akan diserahkan kepada pengurusan BTS iaitu Big Hit Entertaiment menggunakan pos dalam masa terdekat.

Pada malam Ahad lalu, aksi teruja Mastura menjadi tular di laman sosial sehingga ada yang melabelkan wakil kelab peminat yang digelar Army Malaysia itu, terlalu over sehingga memburukkan nama peminat BTS yang lain.

Kumpulan BTS memenangi kategori Artis Korea Popular ABPBH 32 yang berlansung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sumber: mStar Online